Status halal perkukuh jenama Nang Ori 

Status halal perkukuh jenama Nang Ori 

PRODUK Nong Ori kini telah menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Australia dan Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING KAYA: Jenama lada premium tempatan, Nang Ori, terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran domestik dan antarabangsa hasil pengiktirafan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2018. 

Pengasas Joeyees Trading Sdn. Bhd., Awaeang Kwasin berkata, persijilan halal menjadi kunci penting dalam usaha menembusi rangkaian pasar raya besar dan pasaran luar negara.

“Sejak mendapat sijil halal, pasar raya besar pertama yang kami berjaya masuk ialah Mydin dan AEON. 

“Kini, produk kami sudah berada di The Store, Lulu, Lotus’s, Giant, TF Mart, Sunshine Supermarket, malah di lapangan terbang dan kedai-kedai berorientasikan pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, selain di Malaysia, Nang Ori turut menembusi pasaran Brunei, Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), dengan fokus tahun ini untuk memperluas pasaran ke China dan Hong Kong.

Beliau yang turut popular dengan gelaran Ratu Lada di media sosial berkata, sijil halal amat penting sebagai bukti jaminan kebersihan dan keselamatan produk, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna pelbagai kaum dan agama.

“Bagi memasuki pasar raya, sijil halal adalah wajib. 

“Saya mula memohon sejak 2016 bagi memastikan produk kami yang menggunakan 100 peratus lada asli Sarawak tanpa bahan campuran serta diiktiraf sah halal dan berkualiti tinggi.

“Persijilan halal juga memberi nilai tambah kerana produk kampung kami bukan sekadar ‘produk kampung’ tetapi setaraf produk bertaraf global,” katanya. 

Beliau yang merupakan wanita Bidayuh pertama memiliki lesen memborong dan mengeksport lada Sarawak turut menasihatkan usahawan lain agar tidak takut memohon sijil halal.

“Cabaran pasti ada, namun prosesnya tidak susah asalkan patuh syarat ditetapkan Jakim. 

“Semua urusan boleh dibuat dalam talian dan sangat mudah. Syukur, kami diberi peluang sama rata seperti orang lain,” ujarnya.

Tambah beliau, selain halal, Nang Ori turut memiliki pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang mengesahkan produk dihasilkan mengikut standard kebersihan dan kualiti tertinggi.

“Produk kami semakin diterima umum bukan setakat mempunyai pensijilan halal, kami juga mempunyai pensijilan GMP dan MeSTI yang memastikan produk kami mempunyai kualiti yang terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN