KUALA LUMPUR: Beroperasi sejak 15 tahun lalu, Muslim Kitchen Sdn. Bhd. kekal utuh menerajui pasaran makanan sejuk beku halal menerusi jenama utama mereka, Thalia, yang terkenal dengan menu barat seperti lasagna, pasta dan pizza.
Pengarah Urusannya, Mashitah Jamaludin berkata, jenama Thalia mula diperkenalkan pada 2010 sebagai produk makanan barat siap dimakan, khusus untuk pengguna yang mahukan pilihan makanan mudah, pantas dan berkualiti tinggi.
“Kami memang fokus pada konsep makanan yang hanya perlu dipanaskan sebelum dihidang. Ini sangat membantu ibu bekerja dan pelajar yang kesuntukan masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Showcase Teknologi (ShowTech) Mardi 2025.
Selain Thalia, syarikat turut melancarkan jenama kedua iaitu Bariklana, bagi memenuhi permintaan terhadap makanan tempatan seperti kari dan kini telah berada di pasaran selama lima tahun.
Sejak dari awal operasi, Muslim Kitchen menitikberatkan pensijilan halal sebagai asas kepada keyakinan pelanggan.
“Kami bermula dengan bimbingan daripada SME Corp dan Mardi. Alhamdulillah, perjalanan mendapatkan sijil halal dipermudahkan dan kami juga memiliki pensijilan HACCP serta terkini, Veterinary Health Mark (VHM) untuk produk berasaskan daging,” jelas Mashitah.
Beliau menjelaskan bahawa sijil halal bukan sahaja penting untuk kepercayaan pengguna, malah membuka jalan kepada pengembangan pasaran ke peringkat antarabangsa.
“Sijil halal membantu melonjakkan kepercayaan pengguna. Kami pernah dieksport ke Singapura, Brunei dan Hong Kong sebelum pandemik. Selepas Covid-19, jualan dalam talian di luar negara menjadi tumpuan,” ujarnya.
Mashitah turut menekankan kepentingan mengekalkan kualiti resipi dan pembungkusan sebagai kunci kekuatan jenama Thalia.
“Kami guna keju dan krim import serta resipi yang dikekalkan sejak awal. Konsistensi rasa sangat penting. Ramai pelanggan tidak percaya ini produk tempatan kerana pembungkusan dan rasa yang setanding produk antarabangsa,” katanya.
Bagi Mashitah, keunikan produk adalah faktor utama kejayaan sesebuah perniagaan makanan.
“Usahawan kena cari kelainan. Kami ambil masa setahun untuk uji pasaran dengan kaedah ‘sampling’ setiap hujung minggu. Bila pelanggan dah rasa, barulah mereka yakin untuk beli,” jelasnya,
Dengan matlamat untuk terus berkembang, Muslim Kitchen kini menyasar pasaran eksport yang lebih luas, didorong keyakinan terhadap standard halal dan kualiti premium produk mereka.-UTUSAN










