Sektor perbankan Malaysia kekal stabil meskipun ekonomi

Sektor perbankan Malaysia kekal stabil meskipun ekonomi – CIMB Research

ALLIANCE BANK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan Malaysia dijangka terus berdaya tahan meskipun berdepan dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi, menurut analisis terkini oleh CIMB Research. 

Walaupun segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengalami tekanan, kenaikan kos kredit diramalkan kekal sederhana dan terkawal.

CIMB Research mengekalkan prospek kredit yang stabil untuk sektor tersebut, dengan menyatakan bahawa risiko makroekonomi semasa tidak memberi ancaman besar kepada kestabilan sistem kewangan negara.

“Kami telah menyemak semula unjuran kos kredit sektor, mengambil kira potensi kesan daripada pertumbuhan yang lebih perlahan terhadap segmen PKS dan berdasarkan trend sejarah,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Berdasarkan analisis senario terkini, CIMB Research menjangka kos kredit mungkin meningkat sebanyak 12 mata asas (bps), hasil pelarasan terhadap andaian kadar kemungkiran pinjaman dalam kalangan PKS.

Sekiranya kadar kemungkiran PKS meningkat daripada 4.5 kepada 6 peratus dengan kerugian akibat gagal bayar (LGD) kekal pada 50 peratus jumlah kerugian kredit dianggarkan boleh meningkat sebanyak 75 bps untuk segmen tersebut.

Namun, CIMB menyatakan bahawa kenaikan 12 bps ini masih berada dalam lingkungan kenaikan maksimum 15 bps yang telah diunjurkan sebelum ini. 

Oleh itu, unjuran kos kredit sektor secara keseluruhan tidak diubah buat masa ini.

Segmen PKS mewakili kira-kira 16.5 peratus daripada jumlah pinjaman dalam kalangan bank-bank yang berada di bawah liputan CIMB Research.

“Meskipun pendedahan langsung kepada pinjaman berkaitan eksport adalah rendah, iaitu antara satu hingga 4.7 peratus, firma itu memberi amaran bahawa kesan tidak langsung melalui vendor dan pembekal rantaian bekalan berkemungkinan memberi tekanan tambahan.

CIMB Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perbankan dan terus mencadangkan ‘beli’  untuk beberapa bank utama seperti Alliance Bank Malaysia Bhd., Public Bank Bhd. dan RHB Bank Bhd., memandangkan hasil dividen yang masih menarik.

Firma itu juga menyatakan bahawa faktor peningkatan yang boleh mendorong prestasi sektor termasuk kos kredit yang lebih rendah, marginal faedah bersih yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan bukan faedah.

Walau bagaimanapun, CIMB mengingatkan sejarah menunjukkan keperluan berhati-hati. 

“Sebagai contoh, pada 2020, semasa kemelesetan akibat pandemik, kos kredit melonjak ke 79 bps ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 5.5 peratus dan eksport susut 8.6 peratus. 

“Pada 2008, kos kredit mencecah 70 bps ketika KDNK menyusut 1.5 peratus dan eksport jatuh 10.9 peratus,” katanya. 

Secara umumnya, kos kredit berada di antara 20 hingga 30 bps dalam kitaran ekonomi biasa, dan boleh meningkat kepada 40 hingga 50 bps semasa kelembapan.

“Secara keseluruhannya, sektor ini kekal kukuh dari segi asas dengan pendedahan yang terkawal dan penampan modal yang mencukupi,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN