PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus Produk (PGG) sebagai langkah memperkukuh perlindungan pelabur serta menggalakkan pembangunan dan pengedaran produk yang lebih bertanggungjawab dalam pasaran modal negara.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan pasaran dan kawal selia yang sedang digerakkan SC bagi meningkatkan tingkah laku industri serta integriti pasaran secara menyeluruh.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelaksanaan PGG adalah penting untuk memastikan inovasi produk kewangan sentiasa selari dengan kepentingan pelabur dan kehendak pasaran.
“PGG dibangunkan dengan pendekatan berasaskan prinsip yang membolehkan firma menyesuaikan pelaksanaannya mengikut model perniagaan masing-masing, asalkan ia mencapai hasil kawal selia yang dihasratkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, garis panduan itu menghendaki firma pengeluar dan pengedar produk untuk sentiasa mengutamakan kepentingan pelabur dalam reka bentuk dan pengedaran produk pasaran modal tidak tersenarai, dan komitmen ini perlu diterjemahkan menerusi kawalan dalaman, polisi serta prosedur (CPP) yang jelas.
“PGG menetapkan agar firma memastikan dasar dan prosedur yang dilaksanakan mampu meningkatkan kesesuaian produk dengan kumpulan pasaran sasaran.
“Firma juga perlu mengambil langkah proaktif dalam mengenal pasti dan mencegah potensi risiko yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada pelabur,” katanya.
Tambah beliau, tanggungjawab terhadap reka bentuk dan pengedaran produk turut diletakkan secara langsung kepada lembaga pengarah dan pihak pengurusan firma bagi memastikan akauntabiliti yang jelas terhadap kesan produk kepada pengguna.
“PGG menuntut kerjasama yang lebih erat antara pengeluar dan pengedar produk melalui perkongsian maklumat berkaitan sasaran pasaran, bagi menjamin produk yang ditawarkan benar-benar menepati tujuan serta keperluan pelabur.
“Dengan melaksanakan rangka kerja tadbir urus produk yang berkesan, firma bukan sahaja mematuhi peraturan sedia ada, malah menunjukkan komitmen terhadap amalan perniagaan beretika dan bertanggungjawab.
“Kepercayaan pelabur terhadap pasaran hanya dapat dibina apabila syarikat-syarikat beroperasi secara telus, berintegriti serta mengutamakan kepentingan pengguna dalam semua aspek produk yang ditawarkan,” katanya.
Tambahnya, PGG akan terpakai bagi semua produk pasaran modal tidak tersenarai kecuali saham biasa, kontrak derivatif di kaunter, dana ekuiti persendirian, modal teroka dan produk yang ditawarkan melalui platform dikendalikan oleh pengendali pasaran yang diiktiraf.
“Bagi membolehkan pelaksanaan secara lancar, PGG hanya akan berkuat kuasa pada 2 Januari 2026 bagi memberi masa mencukupi kepada firma untuk menyesuaikan proses dalaman mereka dan bersedia mematuhi sepenuhnya keperluan baharu ini,” katanya.-UTUSAN