Saham Asia jatuh didorong perubahan dasar tarif

Saham Asia jatuh didorong perubahan dasar tarif

DASAR tarif Rumah Putih mempengaruhi pasaran saham Asia pada Isnin. -AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham Asia bermula berhati-hati pada Isnin apabila para pelabur cuba menyesuaikan diri dengan perubahan dasar tarif Rumah Putih, sambil menantikan data pekerjaan utama Amerika Syarikat (AS) serta pemotongan kadar faedah oleh Eropah yang dijangka meluas.

Tiada reaksi ketara terhadap ancaman Presiden Donald Trump pada lewat Jumaat untuk menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus bermula 4 Jun, satu perubahan mendadak yang membangkitkan kemarahan para perunding Kesatuan Eropah.

Indeks Nikkei Jepun jatuh 1.1 peratus, manakala saham Korea Selatan susut 0.1 peratus.

Niaga hadapan S&P 500 merosot 0.2 peratus dan niaga hadapan Nasdaq susut 0.3 peratus. 

S&P melonjak 6.2 peratus pada Mei, manakala Nasdaq melonjak 9.6 peratus dengan harapan tarif akhir import akan jauh lebih rendah daripada tahap awal yang tinggi melambung.

Minggu lalu, prestasi Bursa Malaysia juga mencatatkan penyusutan ketara dalam dagangan seminggu apabila indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot sebanyak 23.04 mata.

Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, prestasi pasaran saham Asia menunjukkan corak yang pelbagai, dipengaruhi oleh faktor domestik dan global yang berbeza-beza.

Katanya, di Malaysia, pasaran saham tempatan mencatatkan pemulihan sederhana selepas tempoh kelembapan, didorong oleh peningkatan pelaburan asing, kestabilan harga komoditi serta jangkaan penurunan kadar faedah global.

“Sektor-sektor seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui dijangka terus menarik minat pelabur, sejajar dengan trend global yang semakin menekankan inovasi dan kelestarian.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang sangat bergantung kepada eksport, Malaysia berdepan risiko ketidaktentuan berikutan ketegangan perdagangan global, khususnya dasar tarif AS yang berpotensi memberi kesan negatif.

“Dasar tarif tersebut boleh mengurangkan permintaan terhadap eksport Malaysia sekiranya rantaian bekalan global terganggu, selain menjejaskan pelaburan asing akibat ketidaktentuan pasaran, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan mata wang serta pasaran modal tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, bagi menghadapi risiko ini, Malaysia disaran mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuh sektor domestik sebagai langkah mitigasi penting.

“Malaysia juga berdepan cabaran sebagai hab logistik dan perdagangan serantau, terutamanya apabila AS pernah menyasarkan beberapa negara ASEAN atas dakwaan transhipment untuk mengelak tarif.

“Langkah mitigasi yang dilaksanakan, termasuk memperketat penguatkuasaan kastam, audit asal-usul barangan dan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi mengurangkan risiko sekatan perdagangan,” katanya.

Pada Ahad, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata, Trump akan berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping tidak lama lagi untuk menyelesaikan pertikaian mengenai mineral kritikal.

Pegawai Rumah Putih terus meremehkan keputusan mahkamah yang menyatakan Trump telah melampaui kuasanya dengan mengenakan duti menyeluruh ke atas import dari rakan dagang AS.

Sementara itu, Ketua ekonomi JPMorgan, Bruce Kasman berkata, keputusan mahkamah itu akan menyukarkan hala tuju dasar perdagangan, tetapi masih terdapat banyak peruntukan yang boleh digunakan oleh pentadbiran untuk mencapai hasil yang dikehendaki. 

“Terdapat komitmen untuk mengekalkan kadar tarif minimum AS sekurang-kurangnya 10 peratus dan meningkatkan tarif sektor tertentu.

“Peningkatan tarif ke atas ASEAN bagi menghalang penghantaran semula (transhipment) dilihat mungkin berlaku dan kecenderungan ke arah tarif lebih tinggi dalam perdagangan AS-Kesatuan Eropah masih kekal,” katanya.

Pasaran akan memberi perhatian sama ada Trump akan meneruskan tarif 50 peratus pada Rabu atau menarik balik seperti yang sering dilakukannya sebelum ini. 

Tindakan tergesa-gesa menghadapi tarif ini telah menyebabkan turun naik ekonomi yang ketara, dengan penguncupan pada suku pertama dijangka berubah menjadi lonjakan pada suku ini apabila import berkurangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN