Purata gaji pekerja naik kepada RM3,332 sebulan pada 2022

Purata gaji dan upah pekerja naik kepada RM3,332 sebulan pada 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Purata gaji dan upah bulanan pekerja pada 2022 adalah sebanyak RM3,332, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 peratus berbanding RM2,590 pada tahun 2015, Banci Ekonomi 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, seiring dengan pertumbuhan bilangan pekerja, jumlah gaji dan upah dibayar mencatat pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 5.4 peratus, meningkat daripada RM245.8 bilion pada 2015 kepada RM354.9 bilion pada 2022. 

Katanya, semua sektor mencatat peningkatan pada 2022 kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan jumlah sebanyak RM7.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan -0.9 peratus. 

“Walaupun mencatatkan pertumbuhan negatif dalam jumlah gaji dan upah dibayar, pekerja dalam sektor perlombongan dan pengkuarian memperoleh purata gaji bulanan tertinggi iaitu RM9,422 sebulan pada 2022. 

“Sementara itu, pekerja dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan masing-masing memperoleh RM3,513, RM3,493 dan RM2,536 sebulan. Pekerja dalam sektor pertanian mencatatkan purata gaji dan upah bulanan paling rendah iaitu RM1,827,” katanya dalam kenyataan.

Melihat kepada kategori pekerja dan kemahiran, Mohd Uzir berkata, pekerja bergaji sepenuh masa membentuk komposisi terbesar guna tenaga pada 2022, iaitu seramai 8.6 juta orang atau 86.1 peratus daripada jumlah guna tenaga. 

Menurutnya, perincian mengikut kemahiran, pekerja separuh mahir merupakan segmen terbesar pekerja, meliputi 59.8 peratus daripada jumlah pekerja bergaji sepenuh masa atau bersamaan 5.2 juta orang. 

“Sementara itu, pekerja mahir dan pekerja berkemahiran rendah masing-masing merangkumi 22.3 peratus dan 17.9 peratus daripada jumlah pekerja bergaji sepenuh masa. 

“Jurang purata gaji dan upah bulanan antara kemahiran masih ketara, mencerminkan kewujudan struktur premium kemahiran dalam pasaran buruh negara. 

“Pekerja mahir menerima purata gaji bulanan tertinggi sebanyak RM6,967 pada 2022, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan 1.5 peratus berbanding RM6,277 pada 2015.

“Sementara itu, secara purata, pekerja separuh mahir dan pekerja berkemahiran rendah masing-masing menerima sebanyak RM2,548 dan RM1,798 sebulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, pertubuhan perniagaan di Malaysia telah mengambil sejumlah 10 juta pekerja pada 2022, menandakan purata peningkatan tahunan 1.8 peratus daripada 8.9 juta orang yang dicatatkan dalam Banci Ekonomi terdahulu bagi tahun rujukan 2015. 

Jelasnya, analisis mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan sektor perkhidmatan terus mendominasi guna tenaga pada 2022, melibatkan 5.8 juta orang atau bersamaan dengan 58.3 peratus daripada keseluruhan pekerja, diikuti sektor pembuatan dengan 2.3 juta orang. 

“Kedua-dua sektor mencatat pertumbuhan tahunan positif dalam guna tenaga berbanding tahun 2015. Sebaliknya, sektor pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan bilangan pekerja pada 2022. 

“Perubahan bilangan pekerja pada 2022 mencerminkan anjakan landskap pasaran buruh negara, khususnya selepas tempoh pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kos buruh yang merangkumi semua perbelanjaan majikan bagi penggajian pekerja adalah sebanyak RM471.8 bilion pada tahun 2022. 

“Kos buruh langsung seperti gaji dan upah, bonus serta imbuhan lain merupakan bahagian terbesar, iaitu 85.4 peratus daripada keseluruhan kos buruh atau bersamaan RM402.8 bilion. Selain itu, kos buruh tidak langsung seperti latihan, caruman sosial majikan, levi pekerja dan lain-lain berjumlah RM69.0 bilion,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN