Proton meterai perjanjian pacu pengeluaran komponen tempatan

Proton meterai perjanjian pacu pengeluaran komponen tempatan

Proton meterai perjanjian pacu pengeluaran komponen tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mengambil langkah ke arah mendapatkan bekalan komponen tempatan berteknologi tinggi untuk model-model akan datang dengan penandatanganan perjanjian antara vendor dan syarikat yang membekalkan produk kepada Geely. 

Ketua Pegawai Perolehan Proton, Wang Huaibing berkata, empat usahasama baharu dan dua perjanjian teknikal telah ditandatangani untuk mengukuhkan rantaian bekalan tempatan syarikat dan meningkatkan keupayaan vendor-vendor tempatan.

Katanya, perjanjian ini juga akan mempercepatkan komponen tempatan bagi model Proton pada masa hadapan bagi segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), sambil meningkatkan nilai tempatan serta memudahkan pengenalan teknologi baharu kepada ekosistem automotif Malaysia. 

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat langsung kepada Proton, malah akan meningkatkan keupayaan vendor automotif di negara dan meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global.

“Bekalan tempatan sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), brek, lampu dan HVAC bakal membawa manfaat setelah mengumumkan secara rasmi rancangan untuk melancarkan beberapa model baharu, penubuhan rantaian bekalan komponen baharu ini akan membantu meningkatkan pengeluaran dan kos yang kompetitif untuk kenderaan Proton generasi seterusnya. 

“Satu daripada contoh adalah usahasama antara Delloyd Technology Berhad dan Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co Ltd.

“Sebagai satu pembekal utama sistem ADAS kepada OEM (pengeluar peralatan asal) di China seperti Geely, ZEEKR, Chery dan Volvo, Imotion Automotive akan membantu mempercepatkan pembangunan dan penggunaan sistem ADAS untuk model AMA01,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas beliau, rakan kongsinya di Malaysia, Delloyd Technology, merupakan pembekal utama untuk pelbagai jenama di negara ini dan juga vendor Proton jangka masa panjang.

Katanya, bagi sistem brek, perjanjian telah ditandatangani antara PEPS JV (M) Sdn. Bhd. dan Liuzhou Sanly Autoparts Co Ltd.

“Syarikat Malaysia, PEPS JV akan memberi tumpuan kepada pengeluaran komponen, manakala rakan kongsinya, Liuzhou Sanly bertanggungjawab untuk pemasangan modular komponen. 

“Kolaboratif ini akan mempercepatkan integrasi teknologi dan meningkatkan prestasi produk keseluruhan. 

“Kedua-dua sistem brek AMA01 dan X-Series akan mendapat manfaat daripada persetujuan ini, mendapat kelebihan dalam perolehan bahan mentah dan kecekapan komponen untuk menjadikan penyelesaian sistem brek lebih kos efektif,” katanya. 

Sementara itu, Jiangsu Dekai Auto Parts Co Ltd mempunyai rekod prestasi dalam industri lampu automotif, dengan R&D yang kukuh,kejuruteraan dan kemudahan pembuatan yang berpusat pada pengeluaran lampu kenderaan. 

“Mereka telah menandatangani perjanjian usaha dengan JHM Consolidation Berhad yang telah mempunyai pangkalan pengeluaran yang kukuh di Malaysia. 

“Kolaborasi ini akan membantu JHM Consolidation Berhad dalam mengembangkan keupayaan dan menaik taraf aktiviti perniagaan mereka daripada pengeluar peralatan gantian (REM) kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk model Proton akan datang.

Selain itu, perjanjian usahasama keempat adalah  antara Trillion Speed (M) Sdn. Bhd. dan Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co Ltd. 

Sebagai pakar dalam sistem HVAC, Shanghai Yinlun komited untuk memacu pemindahan pengetahuan, memajukan teknologi, dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam ekosistem tempatan melalui kolaborasi mereka dengan Trillion Speed, vendor Proton sejak sekian lama. 

“Manfaat daripada usaha ini akan dapat dilihat pada model yang dilancarkan tahun ini serta model masa depan dalam perancangan produk Proton,” katanya. 

Selain perjanjian usahasama, dua perjanjian teknikal turut dimuktamadkan. SHJ Interia Sdn. Bhd. dan Changchun Fawsn Automotive Trim Co Ltd. telah menandatangani Perjanjian Teknikal untuk membangunkan dan memindahkan teknologipembuatan baharu bagi komponen dalaman, terutamanya pelapik bumbung. 

Pada masa yang sama, perjanjian itu juga merangkumi panduan untuk penubuhan kemudahan R&D SHJ sementara Changchun Fawsn meneroka peluang pelaburan di Malaysia melalui perkongsiannya dengan SHJ Interia.

Perjanjian teknikal kedua adalah antara Xenso Electronics Sdn.  Bhd. dan Freetech Intelligent Systems Co. Ltd. yang bertujuan untuk membangunkan ADAS dan kolaborasi ini membolehkan pembangunan bersama sistem pengesan belakang dan sisi berketepatan tinggi, penting untuk ciri seperti pemantauan titik buta dan bantuan penukaran lorong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN