KUALA LUMPUR : Ping Edge Technology Berhad memulakan dagangan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia dengan harga saham premium melebihi harga 23 sen sesaham, iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding tawaran awam permulaannya (IPO) 23 sen seunit.
Saham itu didagangkan antara 24 sen dan 26 sen dalam 10 minit pertama dagangan.
Pada harga terakhir, Ping Edge mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM78 juta dan menilai syarikat itu hampir 27 kali ganda daripada pendapatan terkini.
Syarikat perdagangan peralatan dapur dan perkhidmatan makanan komersial itu telah mengumpul RM5.15 juta melalui penyenaraian ini menerusi penempatan secara persendirian.
Daripada jumlah tersebut, 19.4 peratus akan diperuntukkan untuk penubuhan bilik pameran tambahan beserta kemudahan stor di Pulau Pinang, 9.7 peratus untuk pengembangan keupayaan digital, 46 peratus bagi modal kerja, dan baki 24.9 peratus untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Ping Edge, Dexter Soh Yeow Seng, penyenaraian syarikat di Pasaran LEAP menandakan pencapaian penting dalam perjalanan korporat mereka.
“Status baharu ini meningkatkan keterlihatan dan mengukuhkan kredibiliti kami dalam kalangan pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pemegang taruh industri,” katanya.
Tambah Dexter, perkembangan industri makanan dan minuman yang terus berkembang seiring dengan peningkatan populasi dan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi akan menyokong prospek pertumbuhan hasil dan keuntungan masa depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai tindak balas kepada permintaan pasaran yang berkembang dan untuk meningkatkan lagi aliran hasil, Ping Edge turut merancang mengembangkan rangkaian produk untuk memenuhi sasaran pasaran yang lebih luas.
Pengembangan itu termasuk kategori baharu seperti peralatan bekeri, pemproses makanan, peralatan dapur, bekalan bar dan peralatan memasak, dengan penambahan berpotensi seperti peralatan meja, mangkuk dan kutleri untuk melengkapkan penawaran sedia ada.
“Untuk memanfaatkan persekitaran yang menggalakkan dan mengekalkan trajektori pertumbuhan keuntungan, kami merancang menubuhkan tiga bilik pameran baharu dengan kemudahan penyimpanan di Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.
“Ini akan meningkatkan aksesibiliti untuk pelanggan di luar rantau tengah, memperbaiki liputan perkhidmatan dan memendekkan masa penghantaran, sambil melengkapkan strategi dalam talian utama kami.
“Operasi di cawangan Negeri Sembilan dan Johor disasarkan bermula pada suku ketiga 2025,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ping Edge, Ethan Choong Wai Hon berkata, syarikat sentiasa menyasarkan untuk berkembang ke negara lain termasuk pasaran timur, namun tertakluk kepada beberapa kesukaran dari segi masa pelaksanaan.
“Matlamat kami adalah untuk pasaran yang besar pada tahun ini termasuk pasaran timur.
“Namun kami tertakluk kepada beberapa kekangan tetapi kami berhasrat untuk melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.. -UTUSAN