PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai kerjasama strategik dengan Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) untuk mengukuhkan pengurusan bahan huluan dan pergudangan di Pangkalan Bekalan Kemaman.
Memorandum persefahaman (MoU) yang dilakukan melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts. Muhtar Suhaili.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, Malaysia menawarkan rangkaian rantaian bekalan bersepadu dan mudah diakses yang menyokong aktiviti pelaburan penerokaan dan pengeluaran (E&P) di seluruh negara.
“Pertukaran MoU ini menggariskan komitmen kami dalam mengukuhkan lagi Malaysia sebagai destinasi pelaburan E&P pilihan dengan memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan, penyeragaman operasi dan memajukan penyelesaian dipacu teknologi merentas rantaian nilai minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah perkongsian ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk menubuhkan ‘Pusat Sehenti’, menawarkan perkhidmatan logistik hujung ke hujung untuk menyokong operasi minyak dan gas huluan.
Petronas berkata, inisiatif utama di bawah usaha ini ialah perintis Gudang Berpusat di Pangkalan Bekalan Kemaman, yang disasarkan untuk memulakan operasi pada 2026.
“Model ini akan memanfaatkan teknologi digital, proses piawai dan infrastruktur bersepadu untuk meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
“Pendekatan ini dijangka meningkatkan keterlihatan, mengurangkan kos penyimpanan inventori dan meminimumkan lebihan bahan, faktor yang kritikal dalam meningkatkan ketangkasan operasi dan daya tahan merentas sektor huluan Malaysia.
“Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum negara dan menyediakan pengawasan untuk aktiviti petroleum huluan di Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN