Pelabur asing catat aliran masuk bersih RM33.2 juta minggu lalu

Pelabur asing catat aliran masuk bersih RM33.2 juta minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM33.2 juta di Bursa Malaysia minggu lalu, sekali gus menamatkan trend jualan selama lima minggu berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Berhad.

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 27 Jun 2025, MIDF berkata, aktiviti pelabur asing adalah bercampur sepanjang minggu tersebut, dengan pembelian bersih dicatatkan pada hari Selasa dan Khamis, manakala Isnin dan Rabu menyaksikan aliran keluar bersih.

“Aliran masuk berada dalam julat antara RM5.0 juta hingga RM144.1 juta, manakala aliran keluar adalah antara RM50.7 juta hingga RM65.2 juta,” katanya.

MIDF berkata, tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM102.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM45.9 juta) dan produk dan perkhidmatan industri (RM22.9 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM109.9 juta), hartanah (RM35.9 juta) dan telekomunikasi dan media (RM28.0 juta).

“Institusi tempatan pula meneruskan aktiviti pembelian mereka untuk minggu keenam berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM142.8 juta, namun lebih rendah berbanding aliran masuk minggu sebelumnya iaitu RM510.6 juta,” katanya. 

Dalam masa yang sama, pelabur runcit tempatan kembali menjadi penjual bersih minggu lalu dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM176.0 juta, sekali gus menamatkan aliran masuk selama seminggu sebelumnya.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, purata volum dagangan harian menunjukkan peningkatan secara menyeluruh pada minggu lalu, kecuali bagi pelabur asing.

“Pelabur runcit tempatan dan institusi tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 12.7 peratus dan 9.7 peratus, manakala pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak 17.0 peratus,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN