PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 9 Julai ini, susulan data terkini inflasi pada Mei sebanyak 1.2 peratus yang terendah dalam 51 bulan.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penurunan OPR dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan, selaras dengan keputusan BNM sebelum ini yang menurunkan kadar Statutory Reserve Requirement (SRR) kepada satu peratus.
“Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan kembali meningkat tetapi tidak begitu ketara sehingga melebihi tiga paeratus.
“Kalau tak turun bulan depan, masih lagi akan ada kemungkinan akan turun dalam masa separuh tahun kedua tahun ini kerana amat penting untuk memperkasakan ekonomi domestik bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kali terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikkan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd., Sabrina Edora berkata, kelonggaran inflasi dan tekanan asas permintaan yang lemah memberikan BNM ruang untuk melonggarkan dasar.
Katanya, ini untuk menyokong pertumbuhan dalam keadaan ketidaktentuan berkaitan perdagangan yang semakin meningkat.
“Berdasarkan latar belakang ini, kami mengekalkan kes asas kami untuk pengurangan 25 mata asas dalam OPR kepada 2.75 peratus pada suku ketiga tahun ini.
“Sambil mengekalkan pendekatan bergantung kepada data, kami percaya risiko inflasi berkurangan dan penyatuan fiskal Malaysia yang diukur mengukuhkan kes untuk pelarasan jangka pendek.
“Sekiranya ketegangan perdagangan meningkat semula selepas Julai, tindak balas dasar yang lebih sarat mungkin diperlukan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, pihaknya terus memantau risiko peningkatan daripada pelarasan tarif bukan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB), trajektori Cukai Julan dan Perkhidmatan (SST), pembaharuan levi pekerja asing secara berperingkat dan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunda pada suku keempat 2025.
“Walau bagaimanapun, dengan kebanyakan langkah domestik kini dikomunikasikan dengan baik dan keadaan kos global secara amnya menggalakkan, kami menjangkakan inflasi akan kekal terkawal pada separuh kedua 2025, kecuali satu lagi kejutan komoditi atau peningkatan perdagangan.
Sebaliknya, Ahli Ekonomi TA Securites Holdings Berhad, Farid Burhanuddin pula mengekalkan unjuran bahawa OPR tidak akan berubah dari kadar semasa 3.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
“Kami percaya dasar monetari akan kekal bergantung kepada data, dengan BNM tidak mungkin melaraskan kadar melainkan terdapat kemerosotan ketara dalam prospek pertumbuhan atau sisihan yang jelas dan berterusan dalam trajektori inflasi.
“Walaupun ada halangan luar, terutamanya daripada ketegangan perdagangan global, menimbulkan risiko penurunan kepada pertumbuhan, kami menjangkakan BNM akan mengutamakan kestabilan di tengah-tengah pembaharuan struktur yang berterusan seperti rasionalisasi subsidi bahan api dan peluasan SST,” jelasnya.
Pada ketika ini, beliau mengekalkan unjuran inflasi tahun penuh pada 2.1 peratus untuk 2025, mencerminkan peningkatan secara beransur-ansur dalam tekanan harga pada separuh kedua tahun itu.
“Kami akan terus memantau dengan teliti aliran Indeks Harga Pengguna (IHP) dan menilai semula tinjauan dasar kami sekiranya terdapat peralihan yang bermakna dalam keadaan domestik atau luaran,” tambahnya.-UTUSAN










