PETALING JAYA: Watak-watak kegemaran kanak-kanak seperti Mickey Mouse, Ariel The Little Mermaid, dan Team Spidey bakal menghiburkan penonton Malaysia menerusi persembahan muzikal interaktif bertajuk “Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!” di Arena of Stars, Resorts World Genting dari 29 Ogos hingga 1 September ini.
Pementasan selama empat hari itu menampilkan lapan persembahan eksklusif, menggabungkan unsur nyanyian, tarian, visual 3D serta aksi akrobatik bagi mencipta pengalaman hiburan keluarga yang menyeronokkan.
Penerbit Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank berkata, mereka akan mengetengahkan watak-watak ikonik daripada siri Disney Jr. seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, SuperKitties, Puppy Dog Pals dan Team Spidey daripada Marvels Spidey and His Amazing Friends.
Katanya, jalan cerita muzikal tersebut adalah Mickey Mouse merancang acara permainan di Clubhouse, namun suasana ceria terganggu akibat cuaca misteri sebelum Team Spidey tampil menyelamatkan keadaan.
“Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk Hot Dog! (Mickey Mouse Clubhouse), Oopsie Kitty (SuperKitties), dan Do the Spidey (Marvel’s Spidey and His Amazing Friends),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan konsert itu di Amerika Syarikat dan London memberi keyakinan kepada pihaknya untuk membawa produksi berkenaan ke pentas Asia Tenggara.
“Kami amat teruja untuk membawakan produksi penuh keajaiban ini kepada keluarga di Malaysia,” katanya. – UTUSAN









