Malaysia meterai FTA ke-18 bersama EFTA 

Malaysia meterai FTA ke-18 bersama EFTA 

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) bersama empat negara anggota EFTA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) bersama empat negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi dua hala.

Perjanjian dengan Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein tersebut ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, bersama rakan sejawatannya dari negara-negara EFTA. 

Selain MEEPA, turut dimeterai ialah memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dan pembangunan kapasiti serta satu kenyataan bersama mengenai minyak sawit mampan.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa perjanjian ini mencerminkan pendirian berkecuali dan tidak berpihak Malaysia dalam landskap geopolitik global yang kian mencabar, selain menjadi sebahagian daripada usaha strategik negara untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan ketahanan ekonomi.

“MEEPA bukan sahaja FTA ke-18 Malaysia, malah yang pertama dengan negara-negara Eropah tertentu. Ia juga berpotensi membuka jalan kepada rundingan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah (EU),” katanya dalam kenyataan. 

Jelas beliau, perjanjian ini dijangka menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyumbang kepada penciptaan pekerjaan bergaji tinggi dan pertumbuhan ekonomi berteraskan nilai tambah.

“MEEPA merangkumi pelbagai bidang seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek, pemudahcaraan kastam, dasar persaingan, pembangunan mampan dan perolehan kerajaan.

“Apabila dikuatkuasakan, ia akan memberikan akses pasaran bebas duti kepada lebih 90 peratus eksport Malaysia, khususnya produk industri seperti elektronik dan elektrik (E&E), instrumen saintifik dan optik, produk logam, plastik dan getah – memperkukuh kedudukan eksport Malaysia di Eropah,” ujarnya.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara-negara EFTA mencecah RM14.4 bilion dengan Switzerland menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah tersebut (RM12.2 bilion), diikuti Norway (RM2.1 bilion).

Secara kumulatif, pelaburan dari Switzerland, Norway dan Liechtenstein bernilai RM14.2 bilion, mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan di Malaysia. 

Antara pelaburan penting termasuk kerjasama Lembaga Koko Malaysia dan Nestlé (Switzerland) bagi menghasilkan KitKat Dark Borneo menggunakan biji koko tempatan.

Beliau berkata, MEEPA turut membuka peluang kepada profesional Malaysia seperti akauntan, juruaudit, peguam, fisioterapis, jururawat dan guru untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih luas di negara-negara EFTA melalui kerangka peraturan yang lebih telus dan mesra mobiliti.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Petronas (UTP) menandatangani MoU bersama dua universiti Norway iaitu University of South-Eastern Norway dan University of Stavanger untuk kerjasama dalam bidang teknologi hidrogen, penangkapan karbon serta tenaga boleh diperbaharui, yang dijangka memacu pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor strategik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN