KUALA LUMPUR: POP POP Legacy (M) Sdn. Bhd. muncul sebagai peneraju dalam penghasilan produk rumpai laut, latok apabila menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia yang memegang sijil halal sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi produk tersebut.
Pengarahnya, Zarina Jalaludin, perniagaan mereka bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2015 dengan menjual latok segar (anggur laut) dan sos hijau.
Namun, katanya, sifat latok segar yang mudah rosak serta cabaran penghantaran ke kawasan jauh dan terpencil mendorong syarikat mencari jalan baharu.
“Untuk mengekalkan kualiti dan meluaskan pasaran, kami mengambil inisiatif membangunkan produk Latok Pop! Pop! dalam bentuk ‘shrink’ berteknologi tinggi yang lebih tahan lama, mudah disimpan dan dihantar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zarina berkata, produk berinovasi ini juga menjadi pemacu kepada usaha mereka mendapatkan sijil halal daripada Jakim, satu proses yang memerlukan pematuhan ketat dalam pelbagai aspek.
Katanya, syarikat terpaksa melakukan pengubahsuaian premis, memastikan kebersihan persekitaran, latihan pekerja, serta mendapatkan pembekal bahan mentah yang diiktiraf halal.
“Syarikat perlu memastikan premis mempunyai dokumen lengkap dan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mematuhi semua kriteria ditetapkan Jakim, termasuk pemeriksaan oleh pegawai mereka.
“Peralatan memasak, mesin pemprosesan dan semua proses penyediaan turut disemak bagi mengelak sebarang keraguan,” jelasnya.
Sehingga kini, POP POP Legacy telah memperbaharui sijil halal sebanyak dua kali sebagai bukti komitmen syarikat dalam mengekalkan standard halal yang tinggi.
Mengulas lanjut, Zarina berkata, sijil halal amat penting bukan sahaja untuk pelanggan beragama Islam, malah bagi memastikan keselamatan serta kebersihan produk sentiasa terjaga.
Menurutnya, impak selepas memperoleh sijil halal sangat ketara apabila jualan meningkat dan permintaan terus berkembang termasuk dari luar negara.
“Produk kami kini menjadi satu-satunya produk latok yang diiktiraf halal di Malaysia dan ia memberi kelebihan besar dalam membina keyakinan pelanggan terhadap jenama kami.
“Kami kini mengedarkan produk ke seluruh Malaysia serta ke pasaran Singapura dan Brunei. Sijil halal memudahkan kemasukan ke rangkaian pengedar antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Zarina turut mengakui bahawa cabaran utama dalam mendapatkan sijil halal adalah memastikan setiap proses dari penyediaan, bahan mentah hingga operasi premis mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Untuk mengekalkan sijil halal, semua syarat perlu sentiasa dipatuhi tanpa kompromi, termasuk latihan berterusan kepada staf dan audit kendiri secara berkala,” katanya.
Mengulas mengenai rancangan masa hadapan, Zarina menyasarkan untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara. – UTUSAN










