PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan dijangka terus berdepan ketidaktentuan setelah jatuh dibawah 1,500 mata pada sesi dagangan Isnin, susulan pelabur kekal memantau perkembangan konflik ketenteraan di Asia Barat, kata penganalisis.
Semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka negatif pada 1,493.19, sebelum jatuh kepada 1,488.89, paras terendah dalam tempoh dua bulan.
Bagaimanapun, indeks penanda aras kembali menokok 13.87 mata kepada 1,516.61 ketika ditutup pada 5 petang semalam, berbanding 1,502.74 pada Jumaat lalu.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kecelaruan geopolitik mendorong pelabur mengambil langkah tunggu dan lihat perkembangan konflik seterusnya.
Katanya, campur tangan Amerika Syarikat (AS) juga telah mengeruhkan lagi keadaan termasuk di peringkat domestik negara itu apabila ahli Kongress beranggapan keputusan yang dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump adalah unilateral (sebelah pihak).
“Selepas ini, pelabur menunggu dan melihat sama ada terdapat tindakan balas daripada negara-negara besar lain seperti Rusia dan China. Adakah mereka akan masuk campur dalam peperangan ini?
“Iran juga ada menyatakan mahu bertindak balas. Boleh jadi terhadap pangkalan ketenteran mereka di Asia Barat.
“Oleh itu, pasaran saham bukan sahaja di Malaysia tapi juga global berdepan ketidaktentuan ketika ini. Aliran pasaran saham adalah cair dan boleh keluar masuk pada bila-bila masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun sesi dagangan pada ada peningkatan semula, Baharom berkata, pergerakan tersebut hanya penyesuaian sahaja kerana pasaran hanya boleh kembali stabil jika ada perjanjian gencatan senjata dalam masa terdekat.
Menurutnya, Iran juga telah menyatakan untuk menutup Selat Hormuz kepada laluan trafik tentera laut susulan serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear.
“Hampir 20 peratus laluan logistik minyak adalah melalui Selat Hormuz. Jika ia ditutup, maka akan berlaku lonjakan harga minyak yang seterusnya akan memberi impak besar kerana minyak adalah komponen utama dalam mana-mana industri.
“Harga minyak dijangka boleh naik kepada AS$100 (RM428) dalam masa terdekat. Antara sektor yang akan banyak terkesan adalah elektrik dan elektronik (E&E) dan yang berkait rapat dengan AS dan China. Turut terkesan pasaran eksport dan perdagangan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, saham syarikat berkaitan minyak akan meningkat susulan pergolakan ini, tetapi pergerakan saham dalam Bursa Malaysia akan bercampur-campur.
Katanya, konflik tersebut akan mengganggu aktiviti perdagangan dan ekonomi global.
“Syarikat berkaitan kerajaan (Petronas) akan dapat manfaat tetapi kerajaan akan terpaksa tanggung subsidi yang lebih tinggi, kecuali jika pelarasan subsidi RON95 dilakukan dengan segera.
“Subsidi akan terus meningkat, menyebabkan tekanan kepada kerajaan untuk meningkatkan hasil dengan lebih ketara atau melakukan penjimatan dalam perbelanjaan negara,” jelasnya.-UTUSAN










