Kadar pengangguran April turun kepada 3.0 peratus, terendah dalam sedekad

Kadar pengangguran April turun kepada 3.0 peratus, terendah dalam sedekad

PRESTASI ekonomi yang stabil menyumbang kepada pemulihan pasaran buruh secara berterusan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara menurun kepada 3.0 peratus pada April 2025, berbanding 3.1 peratus pada Mac, sekali gus mencatatkan kadar terendah dalam tempoh 10 tahun sejak April 2015, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jumlah penganggur pada April direkodkan sebanyak 525,900 orang berbanding 529,600 orang pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi yang stabil menyumbang kepada pemulihan pasaran buruh secara berterusan.

“Ini disebabkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja serta kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala kadar pengangguran terus menurun. 

“Bilangan tenaga buruh terus berada dalam trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 17.34 juta orang, berbanding 17.31 juta orang pada Mac.

“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus, berbanding 70.7 peratus sebelumnya.

“Bilangan penduduk bekerja pula meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.82 juta orang, berbanding 16.78 juta orang pada Mac,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kategori pekerja kekal sebagai kumpulan terbesar dalam pasaran buruh iaitu sebanyak 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja.

“Kategori ini meningkat 0.2 peratus kepada 12.63 juta orang, berbanding 12.61 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Dalam masa sama, bilangan bekerja sendiri turut meningkat 0.6 peratus kepada 3.16 juta orang, berbanding 3.15 juta orang pada Mac,” katanya.

Sementara itu, Uzir Mahidin berkata, peningkatan bilangan pekerja dapat dilihat dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan, makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

“Trend positif juga dicatatkan dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian.

“Dalam kalangan penganggur pula sebanyak 79.6 peratus merupakan penganggur aktif, iaitu mereka yang sedia bekerja dan sedang mencari pekerjaan.

“Bilangan penganggur aktif menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 418,600 orang, berbanding 420,700 orang pada Mac. 

“Daripada jumlah itu, 64.2 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.3 peratus pula menganggur melebihi setahun,” katanya

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penganggur tidak aktif yang beranggapan tiada pekerjaan tersedia menurun 1.5 peratus kepada 107,200 orang, berbanding 108,900 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran belia berumur 15 tahun hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus dengan 298,300 orang menganggur.

“Selain itu, kadar bagi belia berumur 15 tahun hingga 30 tahun menurun kepada 6.2 peratus dengan 400,600 penganggur, berbanding 6.3 peratus atau 399,400 orang pada Mac,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN