J&T Express perkenal hab logistik pintar baharu, kendali 1.2 juta bungkusan

J&T Express perkenal hab logistik pintar baharu, kendali 1.2 juta bungkusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: J&T Express Malaysia memperkenalkan hab logistik pintar tercanggihnya yang terletak di Setia Alam, Klang, dengan keupayaan mengendalikan sehingga 1.2 juta bungkusan dalam tempoh 24 jam serta menyokong lebih 300 pergerakan trak setiap hari.

Pengurus Pusat Pengasingan Barang J&T Express Malaysia, Raymond Ng berkata, pelaburan strategik itu membolehkan syarikat meningkatkan daya tahan operasi dan menyesuaikan skala perkhidmatan mengikut keperluan semasa serta masa depan.

“Ia juga memperkukuh rangkaian kami untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan, rakan niaga dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital. 

“Hab ini dilengkapi sistem automasi canggih termasuk Sistem Kawalan Gudang (WCS), Dimensi Penimbangan dan Pengimbasan (DWS) serta garisan penyisihan satu lapis, yang mengautomasikan sehingga 88 peratus pengendalian bungkusan kecil dengan keupayaan memproses 40,000 bungkusan sejam,” katanya kepada pemberita dalam lawatan media ke Hab Logistik Pusat Pengasingan Barang J&T Express Malaysia, di sini hari ini.  

Hab Logistik Pusat Pengasingan Barang J&T Express Malaysia itu berkeluasan lebih 212,000 kaki persegi. 

Menurut Raymond, automasi bukan sahaja mengurangkan ralat manusia dan memperkemas aliran kerja, malah menjamin ketepatan masa penghantaran terutama ketika musim puncak seperti Jualan 11.11 dan perayaan utama.

“Walaupun dipacu teknologi, lebih 400 kakitangan tetap memainkan peranan penting dalam operasi harian. Kami juga komited memperluas penglibatan tenaga kerja tempatan selaras aspirasi negara. 

“Setia Alam dipilih kerana kedudukan strategik berhampiran lebuh raya serta jaraknya yang dekat dengan Hab Shah Alam, sekali gus membolehkan kesinambungan operasi antara dua hab utama syarikat,” ujarnya. 

Dengan jumlah bungkusan yang terus meningkat di Lembah Klang dan seluruh negara, Hab Logistik Setia Alam merupakan satu lonjakan penting dalam pelan transformasi J&T Express yang memberi tumpuan kepada kepantasan penghantaran, konsistensi perkhidmatan dan kepimpinan jangka panjang dalam sektor logistik. 

Menurut laporan GlobalData, pasaran e-dagang Malaysia dijangka mencecah RM67.1 bilion menjelang 2028.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN