SEPANG: Grab Malaysia hari ini melancarkan perkhidmatan dan rangkaian kenderaan elektrik (EV) pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Perkhidmatan perjalanan EV itu ditawarkan khas untuk penumpang yang tiba di KLIA dan ia boleh ditempah dengan mudah melalui aplikasi Grab.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor.
Buat masa ini, 10 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik jenama BYD M6 disediakan bagi perjalanan itu yang menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih senyap dan lancar kepada penumpang.
Rashid dalam ucapannya berkata, perkhidmatan baharu ini sebahagian usaha menyokong inisiatif kelestarian nasional termasuk dalam sasaran mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, pihaknya memilih KLIA sebagai lokasi pertama untuk melancarkan ciri perjalanan baharu ini kerana peranannya sebagai hab pengangkutan utama di negara ini.
“Dengan keterlihatan yang tinggi dan permintaan untuk perkhidmatan e-hailing, ia memberikan kami platform sempurna untuk menunjukkan bahawa EV bukan sahaja boleh berdaya maju tetapi juga selesa dan bersedia untuk masa depan.
“Kami berbangga bahawa inisiatif ini menyokong agenda nasional Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan penyelesaian mobiliti yang lebih hijau.
“Dengan memberikan pilihan khusus kepada pengembara untuk memilih mod pengangkutan EV terus dari KLIA, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap penggunaan EV di peringkat nasional,” katanya.
Katanya, pihaknya juga memperkenalkan ruang rehat dikenali ‘Lounge EV’ ‘di KLIA ini dengan ruang yang selesa di mana penumpang boleh menunggu kenderaan mereka dengan tenang.
Selain itu, Rashid berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan industri terutama peneraju EV termasuk BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies, dan Power-Up Tech.
“Kerjasama itu bagi memudahkan peralihan rakan-rakan pemandu kami kepada EV yang lebih kos efektif melalui akses kepada infrastruktur pengecasan, sokongan pembiayaan dan pembekalan kenderaan,” katanya.-UTUSAN