GGR Motor labur RM20 juta bina kilang pemasangan motosikal EV

GGR Motor labur RM20 juta bina kilang pemasangan motosikal elektrik

MAJLIS pelancaran motosikal elektrik keluaran GGR Motor Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HANAFI ZULKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: GGR Motor Sdn. Bhd. mencatat sejarah apabila menjadi syarikat bumiputera pertama membangunkan kilang pemasangan motosikal elektrik (EV) tempatan secara komersial di Sungai Penchala dekat sini.

Kilang melibatkan pelaburan RM20 juta itu mula beroperasi bulan depan dan dijangka membuka peluang pekerjaan baharu khusus untuk lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, inisiatif itu bukan sekadar pelancaran produk, tetapi gerakan nasional memperkasa mobiliti rendah karbon negara.

“Kami amat terkejut apabila menerima lebih 2,400 tempahan dalam tempoh seminggu bulan ini, selepas memperkenalkan motosikal elektrik (EV) tempatan pada harga mampu milik.

“Ini platform transformasi untuk mendidik pengguna, memacu pelaburan dan mengukuhkan jaringan industri motosikal elektrik tempatan dan serantau,” katanya di sini.

Pelancaran prarasmi itu turut mendapat kerjasama Perniagaan Mazlan Dan Hashimah (PMH) Motor, Bateriku.com serta Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), MARA.

Majlis turut dihadiri Pengerusi GGR Motor, Tengku Temenggong Perlis, Datuk Seri Syed Amir Abidin Jamalullail.

Beliau berkata, model utama Lion G1 dijangka dilancarkan secara rasmi pada 28 Jun ini, dan dijangka menjadi pilihan pelajar, penghantar makanan serta pengguna bandar.

Model tersebut dijual pada harga RM3,999 dan hanya RM1,599 selepas subsidi MARiiCas, menjadikannya antara model EV paling mampu milik di pasaran setakat ini.

Lion G1 dilengkapi enjin 3,000 watt dengan jarak perjalanan sehingga 120 kilometer setiap cas penuh, serta menyokong pengecasan pantas 50 peratus dalam masa 30 minit.

Tempahan diterima dengan bayaran minimum RM1,000 bagi setiap unit, sekali gus memperkukuh sasaran jualan bulanan sebanyak 5,000 unit di seluruh negara.

“Saya sendiri pernah susah dan tahu peritnya hendak beli motor. Hari ini, saya mahu rakyat miliki EV tanpa beban kewangan besar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran jualan 20,000 unit menjelang hujung tahun ini dapat dicapai berikutan sambutan menggalakkan pengguna domestik.

GGR Motor juga bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melatih lebih ramai usahawan dan juruteknik EV tempatan melalui program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Langkah itu selaras hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab permotoran EV Asia Tenggara melalui pemindahan teknologi, pembangunan modal insan dan jaringan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN