PETALING JAYA: Sektor perbankan, pembinaan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas (O&G) serta tenaga dijangka terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negara pada 2025.
Ini meskipun berdepan persekitaran mencabar susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee Shen Pin berkata, sektor perbankan kekal kukuh didorong oleh asas yang stabil, pertumbuhan pinjaman sekitar lima peratus dan pulangan dividen yang menarik dengan RHB Bank, Maybank, Hong Leong Bank dan AMMB menjadi pilihan utama pelabur.
Beliau berkata, sektor pembinaan pula mendapat lonjakan daripada pelaksanaan projek infrastruktur mega bernilai lebih RM180 bilion termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Pulau Pinang, Lebuhraya Pan Borneo, naik taraf Lapangan Terbang Subang serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Dalam bidang penjagaan kesihatan dan sarung tangan, permintaan terus meningkat dengan pengendali hospital dijangka kekal stabil.
“Selain itu, pengeluar sarung tangan seperti Hartalega dan Kossan berpotensi mendapat lonjakan hasil berikutan tarif baharu ke atas produk China yang membuka peluang peningkatan harga jualan purata (ASP).
“Bagi sektor minyak dan gas pula kekal relevan berikutan kenaikan harga minyak mentah Brent melebihi AS$70 (RM297.89) setong akibat konflik Iran-Israel,” katanya pada taklimat media maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku ketiga 2025.
Mengulas sektor hartanah, Kenny berkata, permintaan terhadap kediaman berharga bawah RM500,000 kekal tinggi, manakala segmen perindustrian terus berkembang disokong oleh e-dagang dan insentif pelaburan langsung asing (FDI) kerajaan.
“Sektor pengguna pula dijangka berkembang sederhana sekitar 4.3 peratus disokong perbelanjaan musim perayaan dan kestabilan ringgit.
“Bagaimanapun, rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan potensi kenaikan tarif elektrik dijangka memberi tekanan ke atas perbelanjaan isi rumah,” katanya.
“Secara keseluruhan, landskap ekonomi Malaysia pada 2025 dijangka kekal berdaya saing dengan potensi pertumbuhan lebih baik sekiranya disokong dasar proaktif, pelaburan berterusan dan kestabilan geopolitik global,” ujarnya.-UTUSAN