De’Xandra, Richiamo Coffee perkenal pewangi kereta aroma kopi

De’Xandra, Richiamo Coffee perkenal empat pewangi kereta beraroma kopi

SAFWAN Ismail (tujuh kiri) dan Muhamad Zamry Abu Samah (lapan kiri) pada majlis kerjasama pewangi kereta beraroma kopi De’Xandra x Richiamo Coffee di Matrade, Kuala Lumpur.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua jenama tempatan, De’Xandra dan Richiamo Coffee, melancarkan empat koleksi pewangi kereta beraroma kopi yang menampilkan variasi bauan ikonik diinspirasikan daripada minuman kopi popular iaitu Caffe Latte, Americano, Barista dan Mochaccino.

Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra, Safwan Ismail berkata, kerjasama itu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu tetapi juga menawarkan pengalaman baharu kepada pengguna dengan membangkitkan suasana kafe di mana-mana sahaja.

“Kami mahu pengguna menikmati suasana kafe melalui keharuman ini, tidak kira di dalam kereta, bilik tidur atau ruang kerja,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama pewangi kereta beraroma kopi De’Xandra x Richiamo Coffee di sini, semalam.

Safwan berkata, syarikat itu merancang mengembangkan pasaran produk kerjasama itu ke Kemboja seawal pertengahan Julai ini menerusi pembukaan cawangan Richiamo di Phnom Penh.

“Selain itu, rangkaian penjualan De’Xandra sudah pun menembusi pasaran Hong Kong, China, Indonesia, Brunei dan Singapura. Malah, produk ini telah mula dijual sejak tiga minggu lalu, iaitu pada awal Jun. Pelancaran hari ini adalah pengumuman rasmi kepada orang ramai,” katanya.

Mengenai tempoh kerjasama, beliau berkata, ia akan diteruskan selagi kedua-dua pihak saling memberi nilai dan manfaat.

“Kami berharap kerjasama ini berkekalan selagi ada rezeki,” katanya.

Koleksi pewangi itu dijual pada harga RM12.90 seunit dan boleh didapati di semua cawangan Richiamo Coffee, Richiamo Mart serta melalui ejen dan pengedar sah De’Xandra selain platform rasmi kedua-dua jenama.

Sementara itu, Pengarah Urusan Richiamo Coffee, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata, kerjasama strategik tersebut membolehkan jenama kopi tempatan itu mendekati pengguna di luar kedai kopi tradisional.

“Kami berbangga membawa semangat kopi Richiamo keluar dari cawan dan terus ke dalam gaya hidup pengguna,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kedua-dua jenama memberi tumpuan kepada empat variasi wangian itu terlebih dahulu.

“Pada masa akan datang kita bercadang untuk menghasilkan versi baharu termasuk pewangi badan. Bagaimanapun, produk sedia ada ini telah mendapat sambutan amat menggalakkan setakat ini,” ujarnya.

Majlis pelancaran turut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz sebagai tanda sokongan kepada kerjasama strategik tersebut yang berpotensi menembusi pasaran global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN