SHAH ALAM: Jenama kenderaan elektrik (EV) mewah milik BYD Auto, Denza menyasarkan jualan sebanyak 400 buah setahun untuk kesemua model dengan pembukaan bilik pameran baharunya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata, penyediaan ruang pameran yang lebih luas akan memberi peluang kepada pengguna melihat secara lebih dekat model-model Denza yang bakal dibawa masuk ke negara ini
Sisma Auto merupakan satu daripada pengedar Denza di negara ini.
“Kami menjangkakan jualan antara 300 hingga 400 buah setahun, ini anggaran kasar.
“Buat masa ini kita hanya ada satu model yang ditawarkan, banyak lagi akan dibawa masuk pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran bilik pameran dan pusat servis Denza yang baharu di Glenmarie di sini.
Bilik pameran dua tingkat seluas 20,000 kaki persegi itu melibatkan pelaburan sebanyak RM25 juta dan ciri-ciri menarik ruang pameran ialah galeri kenderaan yang luas, membolehkan pengunjung melihat secara lebih dekat pilihan model-model EV Denza.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menjalani sesi pandu uji dan terdapat juga pusat servis dilengkapi kemudahan canggih bagi menyediakan perkhidmatan lepas jualan yang menyeluruh.
Syed Khalil berkata, buat masa ini hanya tingkat bawah premis berkenaan yang digunakan untuk jualan dan khidmat lepas jualan.
Menurutnya, keseluruhan bangunan berkenaan bakal beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja model-model lain dibawa masuk.
“Perniagaan kami sedang berkembang dan sudah pasti operasi Denza semakin besar pada masa akan datang.
“Justeru, ruang tingkat atas mampu menampung keperluan operasi termasuk ruang pameran dan bengkel,” ujarnya.
Pada 2010, BYD dan Mercedes-Benz menubuhkan usahasama dengan pegangan saham 50-50 melahirkan jenama Denza.
Jenama ini menggabungkan teknologi canggih BYD dengan warisan kemewahan Mercedes-Benz untuk menghasilkan EV bertaraf tinggi.
Selepas penyusunan semula pemilikan pada 2021 dan 2024, Denza kini dimiliki sepenuhnya oleh BYD.-UTUSAN










