PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan penambahbaikan rangka kerja insentif cukai modal teroka (VC) untuk mengukuhkan lagi ekosistem syarikat tempatan, kata Menteri Kewangan Il.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah pembaharuan tersebut berikutan ekosistem VC didapati masih lagi kekal sederhana iaitu AS$429 juta ( RM1.8 bilion) dalam pembiayaan sepanjang 2024.
Katanya, rombakan skim itu menawarkan kadar cukai konsesi lima peratus sehingga 10 tahun kepada entiti yang memperuntukkan paling kurang 20 peratus dana mereka kepada syarikat permulaan tempatan.
“Ini termasuk kadar cukai 10 peratus untuk syarikat pengurusan VC dan ekuiti persendirian (PE) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, tertakluk kepada memenuhi keperluan bahan yang diperlukan.
“Insentif ini kini diperluaskan kepada struktur perkongsian liabiliti terhad, meluaskan lagi asas pelabur memperdalam kumpulan modal tersedia untuk syarikat permulaan tempatan,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Pengurus Dana di bawah Program Pengurus Dana Baharu Muncul serta Inisiatif Pengurus Dana Serantau oleh Jelawang Capital di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) turut akan bertindak memudahkan proses permohonan yang lebih cekap dan mesra pelabur di bawah rangka kerja dasar pertukaran asing (FEP).
Beliau berkata, firma VC dan PE kini boleh memohon berdasarkan saiz mandat dana mereka, bukan berdasarkan transaksi untuk pengumpulan dana rentas sempadan serta pelaburan yang melebihi had FEP standard.
“Langkah penambahbaikan ini menyelaraskan operasi VC dan PE, yang membolehkan modal bergerak dengan lebih cekap merentasi sempadan Malaysia serta meningkatkan daya saing serantau kita,” katanya.
Amir Hamzah berkata, pelbagai usaha pembaharuan dalam ekosistem VC menandakan kemajuan secara bermakna dalam meletakkan negara sebagai hab kompetitif global untuk modal teroka dan swasta.
Tambahnya, perkembangan positif tersebut merupakan keberanian kerajaan melaksanakan pembaharuan serta memudahkan proses untuk menterjemahkan cita-cita kepada akses dan potensi kepada perkongsian.
“Bagaimanapun biarlah kita jelas, tugas kerajaan bukan untuk mendominasi tetapi memudahkan. Bukan untuk menyesakkan pasaran, namun bagi membukanya luas,” katanya.-UTUSAN