Cuckoo Malaysia tampil RM1.09 sesaham di Pasaran Utama

Cuckoo Malaysia tampil RM1.09 sesaham di Pasaran Utama

HOE Kian Choon (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian Cuckoo Malaysia) di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cuckoo International (MAL) Bhd (Cuckoo Malaysia) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam, dibuka pada harga RM1.09 sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.08 sesaham.

Setakat 9.10 pagi, saham itu susut kepada RM1.08 sesaham selepas mencapai paras tertinggi harian RM1.11, dengan 15.33 juta saham didagangkan.

Syarikat itu berjaya meraih RM184.8 juta menerusi IPO dan memperuntukkan 56.7 peratus bagi pembelian produk untuk mengembangkan perniagaan sewaan.

Selain itu, sebanyak 21.6 peratus akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman bank dan 2.7 peratus untuk pembukaan kedai jenama (Brandshops).

Dalam pada itu, baki tiga peratus pula akan digunakan untuk peningkatan sistem teknologi maklumat (IT), 5.4 peratus untuk pengembangan Cuckoo International (S) Pte Ltd dan baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, syarikat itu komited menyampaikan nilai jangka panjang kepada pelabur dan komuniti menerusi model perniagaan yang unik dan mampan.

“Kami percaya model perniagaan Cuckoo hari ini berada dalam keadaan yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap nilai jangka panjang serta kedudukan jenama kami jelas terserlah pada hari penyenaraian ini.

“Nilai yang kami bawa kepada komuniti dan rakyat Malaysia adalah lebih penting daripada faktor-faktor luar seperti ketidaktentuan harga pasaran, kerana apa yang boleh kami kawal ialah memastikan kami memenuhi janji kepada pelabur,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia. 

Mengulas lanjut, Hoe Kian Choon berkata, jenama Cuckoo di Korea terkenal dengan produk periuk nasinya yang ikonik.

“Selama 11 tahun berada di Malaysia, produk ini bukan menjadi tumpuan utama kami kerana kami menggunakan penapis air sebagai strategi utama untuk menembusi pasaran tempatan.

“Namun dalam tempoh 10 tahun akan datang, kami melihat periuk nasi sebagai antara fokus utama kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Toh Seng Lee berkata, pihaknya merancang untuk membuka 10 kedai fizikal berkonsepkan ‘cash and carry’ tahun ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Kedai jenama ini akan berfungsi sebagai lokasi jualan terus tanpa pemasangan, berbeza dengan 263 kedai sedia ada yang lebih kepada demonstrasi produk.

“Pada tahun 2026, kami juga akan menubuhkan lima kedai runcit pihak ketiga di Singapura bagi mengukuhkan kehadiran serantau di sana. Selain itu, tujuh lagi cawangan baharu akan dibuka di Selangor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN