KUALA LUMPUR: Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Impianan Utara Sdn. Bhd. (Impianan Utara) bagi membangunkan dua inisiatif ekonomi utama di Perlis.
Inisiatif tersebut melibatkan perlombongan unsur nadir bumi dan mineral lain serta perladangan rumput hibrid Napier dan durian Blackthorn.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan aktiviti penerokaan dan pembangunan perlombongan yang telah memperoleh kelulusan di peringkat negeri melalui usahasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed berkata, inisiatif tersebut dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negeri, khususnya dalam menjana pendapatan mampan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Pembangunan ini bukan sahaja menjana pendapatan mampan untuk negeri, malah membawa Perlis ke era kemakmuran ekonomi baharu.
“Selain itu, projek perladangan berskala besar melibatkan rumput hibrid Napier dan durian premium Blackthorn bertujuan memperkukuh sektor agroekonomi negeri dengan meningkatkan keselamatan makanan, memacu pemprosesan hiliran agro dan membuka peluang eksport.
“Pendapatan daripada projek perladangan ini akan dikongsi bersama kerajaan negeri melalui perjanjian antara MBI dan Impianan Utara, selain bayaran pajakan tahunan yang turut menyumbang kepada hasil negeri,” katanya dalam kenyataan sempena menandatangani MoU tersebut di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, Berjaya Land yakin terhadap potensi pembangunan wilayah dan melihat nilai jangka panjang terhadap projek yang memberi impak langsung kepada komuniti tempatan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Impianan Utara, Datuk Syed Tajul Arif Syed Baharoon Al Jumlud berkata, usaha sama tersebut melambangkan sinergi sektor awam dan swasta yang didorong inovasi serta berpaksikan wawasan tempatan.
“Akar kami di Perlis memberi kami pemahaman mendalam terhadap potensi tanah ini dan digabungkan dengan kekuatan korporat Berjaya, kami yakin dapat membangunkan projek yang berdaya komersial, bertanggungjawab kepada alam sekitar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.
Berjaya Land dan Impianan Utara juga akan meneroka peluang kerjasama baharu termasuk pembangunan bandar sempadan serta inisiatif pelancongan, bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Perlis secara inklusif dan lestari.-UTUSAN










