PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) sebanyak 5.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, sama seperti tahun sebelumnya.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM423 juta kepada 338,320 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.25 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.51 peratus, dengan kelebihan 274 mata asas,” katanya dalam kenyataan.
PNB berkata, sehingga 19 Jun 2025, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM539.10 juta.
Katanya, dana tersebut berjaya mengekalkan pembayaran dividen seperti tahun sebelumnya, walaupun berdepan dengan tempoh yang jauh lebih mencabar akibat persekitaran ekonomi global dan pasaran modal yang sangat tidak menentu, berpunca daripada perubahan ketara dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen PNB dalam menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelabur bumiputera melalui pengurusan yang berdisiplin dan proaktif.
“Dana ini telah menjana sebahagian besar pendapatannya daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen melalui gabungan pelaburan ekuiti tempatan dan global,” ujarnya.
Menyedari kepentingan kestabilan pendapatan, PNB juga telah mempelbagaikan pelaburan ke dalam Aset Pendapatan Tetap Global, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan boleh dipercayai untuk menyokong kestabilan kewangan pelabur.
“Ini seiring dengan keperluan pelabur muda yang sedang meningkat dan pelabur setia kami.
Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin PNB, yang disandarkan pada pengurusan portfolio yang kukuh, pengawasan risiko yang proaktif, dan penilaian prestasi yang berterusan.
“Keupayaan ASB 3 Didik untuk menjana pulangan mampan ditengah-tengah dinamik pasaran yang berubah mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pelaburan jangka panjang yang
dipercayai dan kompetitif serta komited untuk memperkasa pelabur bumiputera dalam usaha mengukuh kedudukan kewangan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2025.
PNB berkata, urus niaga bagi ASB 3 Didik di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet telah digantung sementara dari 27 hingga 30 Jun 2025 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.
Jelasnya, pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB (www.myasnb.com.my), aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2025. – UTUSAN










