AmInvestment Bank lancar AmEquities, platform dagangan baharu

AmInvestment Bank lancar AmEquities, platform dagangan baharu

CHRISTOPHER Ng Kok Wai (kiri) dan Leo On Chin Liang ketika pelancaran platform perdagangan AmEquities di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Berhad (AmInvestment) melancarkan platform dagangan baharu, AmEquities yang menawarkan pengalaman pelaburan lebih pintar, pantas dan mesra pengguna untuk pelabur runcit dan institusi.

Platform berkenaan dilengkapi pelbagai ciri teknologi terkini termasuk papan pemuka yang boleh disesuaikan, akses kepada data pasaran secara langsung dalam masa nyata, serta sokongan berbilang bahasa.

Ia memberikan ciri seperti log masuk biometrik, token digital bersepadu dan analisis portfolio komprehensif yang memastikan perjalanan pelaburan selamat dan berwawasan buat pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Berhad, Christopher Ng Kok Wai berkata, antara ciri unik platform baharu itu ialah keupayaan untuk membenarkan pelabur menyesuaikan sepenuhnya papan pemuka dagangan mereka mengikut keutamaan peribadi. 

“Selain itu, platform dagangan ini menyediakan data pasaran masa nyata dan dilengkapi dengan langkah keselamatan teguh yang sangat dihargai pelabur yang mencari pengalaman dagangan yang lancar dan selamat.

“Kami menyasarkan golongan muda, namun pada masa sama, kami turut melihat kepada kumpulan lebih berusia, sekitar awal 30-an dan ke atas kerana mereka memiliki tunai, lebih rasional dan tahu apa yang mereka mahukan,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran AmEquities, di sini semalam..

Mengulas mengenai sentimen pasaran semasa, Christopher berkata, pelabur masih berhati-hati dan mengambil sikap tunggu dan lihat berikutan ketidaktentuan pasaran global, masih terdapat peluang pelaburan yang berbaloi.

“Ramai pelabur kini sedang menilai semula strategi dan cuba mengejar semula matlamat pelaburan mereka dari segi jumlah aset di bawah pengurusan (AUM). Walaupun pendekatan lebih konservatif diambil, pelaburan masih berterusan dalam sektor berpendapatan tinggi dan defensif.

“Selain ekuiti, bon berpenarafan tinggi turut menjadi pilihan pelabur yang mencari pulangan stabil dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

“Platform ini turut menawarkan kadar komisen yang pelbagai, bergantung kepada jenis dagangan. Untuk pelabur tempatan yang berdagang secara dalam talian, kadar komisen adalah antara 0.05 hingga 0.2 peratus, manakala untuk pelabur asing, kadar tersebut adalah lebih sedikit,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Pasaran Ekuiti AmInvestment Bank Berhad, Leo On Chin Liang berkata, selain pasaran tempatan, platform tersebut turut menawarkan peluang untuk berdagang dalam pasaran Hong Kong, Amerika Syarikat dan Singapura.

Tambahnya, kadar komisen yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu antara 0.05 hingga 0.2 peratus untuk dagangan online ekuiti tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN