UOB Malaysia catat untung sebelum cukai RM2.2 bilion - Utusan Malaysia

UOB Malaysia catat untung sebelum cukai RM2.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi bernilai RM2.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024, naik 15.9 peratus daripada RM1.9 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pendapatan operasi tahun lalu naik 2.3 peratus kepada RM4.7 bilion, berbanding RM4.6 bilion pada 2023.

Peningkatan dalam pendapatan operasi didorong pertumbuhan yang stabil dalam semua aliran pendapatan termasuk pendapatan faedah bersih, perbankan Islam, keuntungan pertukaran asing bersih, serta fi dan komisen.

Jumlah perbelanjaan menurun sebanyak RM22 juta berikutan pengurusan kos yang berdisiplin, manakala jumlah elaun untuk jangkaan kerugian kredit menurun dengan ketara sebanyak 52.1 peratus kepada RM159 juta dengan kualiti aset yang lebih baik dan peruntukan yang lebih rendah untuk kedua-dua aset terjejas dan tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, prestasi kewangan 2024 menunjukkan pencapaian yang positif hasil kekuatan perniagaan yang pelbagai.

“Kami berbesar hati melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh, dengan keuntungan sebelum cukai paling tinggi, iaitu sebanyak RM2.2 bilion.

“Pencapaian ini menunjukkan kekuatan model perniagaan terpelbagai kami, disokong oleh pengurusan risiko yang berhemat, kawalan kos yang berdisiplin serta prestasi kukuh dalam semua perniagaan teras kami.

“Perniagaan Perbankan Borong kami telah mencatat kemajuan ketara dalam memajukan agenda kemampanan dan hubungan sesama bank, menyampaikan pertumbuhan dua angka dalam kedua-dua pembiayaan mampan dan pinjaman perdagangan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, hasil daripada aliran perdagangan yang baik telah mendorong pendapatan pasaran global juga meningkat dengan kukuh berikutan usaha dalam membantu pelanggan mengurus risiko kadar faedah dalam persekitaran yang tidak menentu.

“Francais runcit kami yang lebih luas terus memberi momentum yang baik, terutamanya dalam perniagaan kad kredit dan pengurusan kekayaan, berikutan kejayaan penyepaduan perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup.

“Kedudukan kredit yang kukuh dan prospek yang stabil Bank juga disahkan melalui penarafan AAA oleh RAM Holdings Berhad (Kumpulan RAM), satu pencapaian yang kekal sejak 2012.

“Modal juga terus kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 16 peratus dan Nisbah Kecukupan Modal sebanyak 19.4 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia, justeru menyediakan penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan masa hadapan,” ujarnya.

Pada 2024, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.1 peratus kepada RM109.5 bilion (2023: RM107.2 bilion), disebabkan oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen borong dan runcitnya.

Dalam usaha mengukuhkan penyata imbangannya, bank terus memberi tumpuan pada pengembangan dan pengekalan deposit berkualiti. Ini telah membawa kepada nisbah akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) yang lebih tinggi, iaitu melebihi 44 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya