PETALING JAYA: Hong Leong Financial Group Berhad (HLFG) melaporkan untung bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) sebanyak RM2.4 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025.
Prestasi stabil tersebut dipacu oleh keputusan lebih baik dalam perbankan komersial, yang mengimbangi pendapatan lebih rendah daripada insurans hayat dan perbankan pelaburan.
Angka tersebut termasuk beberapa item sekali daripada bank komersialnya, yang terdiri daripada pelepasan elaun tindanan pengurusan (MOA) RM399 juta dan kerugian pencairan bukan tunai sebanyak RM408 juta daripada syarikat bersekutu.
Jika item sekali dikecualikan, PATAMI HLFG terlaras akan menjadi RM2.47 bilion, mewakili peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.3 peratus.
Pulangan atas purata ekuiti (ROE) untuk sembilan bulan kekal cemerlang sebanyak 10.4 peratus pada asas tahunan, manakala nilai buku sesaham meningkat kepada RM27.80 pada 31 Mac 2025, berbanding RM25.80 setahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Kong Khoon berkata, HLFG menunjukkan daya tahan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, meskipun dalam persekitaran operasi yang mencabar.
“Ini disokong oleh peningkatan 8.6 peratus tahun ke tahun dalam hasil, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang mengatasi industri dan kejayaan strategi untuk memacu pendapatan yuran, yang telah meningkatkan pendapatan pendapatan bukan faedah sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun.
“Walau bagaimanapun, ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada gangguan perdagangan dan ketegangan geopolitik telah memberi kesan negatif kepada pendapatan pelaburan dalam bahagian insurans dan perbankan pelaburan,” katanya.-UTUSAN