TNB meterai kerjasama perkukuh tenaga dan air di GCC - Utusan Malaysia

TNB meterai kerjasama perkukuh tenaga dan air di GCC

ANWAR Ibrahim (paling kanan) dan Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah (paling kiri), menyaksikan pertukaran dokumen antara Ts. Abidin Sarjo (dua dari kanan) dan Joe Georges Chidiac (dua dari kiri) sebagai simbolik kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi kerjasama strategik dalam sektor tenaga dan air di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB REMACO) memeterai Perkongsian Usaha Sama Strategik bersama Al-Dhow Engineering General Trading & Contracting Co. W.L.L. dari Kuwait yang  memperkukuh lagi kehadirannya di rantau Teluk.

Menurut TNB, memorandum persefahaman (MoU) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46–GCC 2025 itu merangkumi kerjasama dalam sektor penjanaan tenaga dan penyulingan air di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selama dua tahun melibatkan negara-negara Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

“Perkongsian strategik ini mencerminkan peningkatan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kuwait, sekali gus menyerlahkan peranan Malaysia yang semakin meningkat di Timur Tengah, khususnya dalam sektor penting seperti tenaga dan infrastruktur tenaga.

“Sebagai peneraju dalam peralihan tenaga negara, TNB terus menawarkan penyelesaian tenaga yang berkualiti, diyakini dan mampan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan. 

Menerusi anak syarikat penjanaan kuasanya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), TNB menyediakan penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh dan disesuaikan mengikut keperluan sesebuah negara. 

Syarikat utiliti negara itu  memiliki keupayaan komprehensif yang merangkumi seluruh kitaran hayat projek, daripada pembangunan loji janakuasa hingga ke operasi dan penyelenggaraan bagi membolehkan pelaksanaan infrastruktur tenaga yang mampan dan sedia menghadapi keperluan masa depan di peringkat global.

Majlis pertukaran dokumen disaksikan oleh Putera Mahkota Negara Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam. 

TNB REMACO diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ts. Abidin Sarjo, manakala Al-Dhow Engineering diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joe Georges Chidiac pada majlis itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN