PETALING JAYA: Swift Energy Technology Berhad (Swift Energy) mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.61 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025, melonjak 60.7 peratus berbanding suku sebelumnya, selaras dengan peningkatan dalam operasi pembuatan.
Hasil turut meningkat 35.4 peratus kepada RM33.05 juta berbanding RM24.41 juta pada suku pertama tahun kewangan berkenaan, manakala untung sebelum cukai (PBT) naik 59.3 peratus kepada RM5.7 juta.
Prestasi memberangsangkan itu didorong terutamanya oleh aktiviti pembuatan yang lebih rancak, sekali gus mengimbangi kelembapan dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan kejuruteraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Swift Energy, Tan Bin Chee berkata, prestasi suku ke suku yang dicatatkan mencerminkan asas perniagaan kumpulan yang kukuh serta momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan.
“Kami kekal optimis terhadap prospek kumpulan, disokong oleh trend pertumbuhan jelas dalam sektor automasi industri dan tenaga boleh baharu.
“Permintaan global terhadap kecekapan, kelestarian dan inovasi terus meningkat, sekali gus mendorong penggunaan teknologi automasi seperti sistem berteraskan Internet Benda (IoT) dan pengoptimuman proses, khususnya dalam sektor minyak dan gas, pengeluaran makanan serta utiliti.
“Dalam ruang tenaga boleh baharu pula, usaha penyahkarbonan telah mempercepatkan penggunaan sistem solar PV dan teknologi hijau, disokong dasar kerajaan yang progresif serta insentif,” katanya dalam kenyataan.
Bin Chee berkata, situasi itu membuka potensi besar kepada produk sistem solar PV kalis letupan (Ex) keluaran syarikat, khususnya apabila industri semakin menekankan aspek keselamatan sejajar dengan agenda kelestarian.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 pula Swift Energy mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM57.46 juta.
Segmen pembuatan menyumbang RM43.44 juta atau 75.6 peratus daripada keseluruhan hasil, diikuti perdagangan RM10.42 juta (18.1 peratus) dan perkhidmatan kejuruteraan RM3.60 juta (6.3 peratus).
Dari segi geografi, Malaysia kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan iaitu RM21.11 juta atau 36.7 peratus daripada jumlah hasil bagi tempoh tersebut.
Ia diikuti China sebanyak RM13.31 juta (23.2 peratus), Singapura RM9.06 juta (15.8 peratus), manakala selebihnya disumbang oleh pasaran lain termasuk Thailand, Vietnam, Ghana, Australia, Papua New Guinea, Zambia dan Indonesia.
Menurutnya, rantau Asia-Pasifik khususnya menonjol sebagai pemacu pertumbuhan utama, dipacu oleh perindustrian dan urbanisasi pesat serta penekanan terhadap peralihan kepada tenaga bersih.
“Ketika ekonomi global berdepan cabaran termasuk keselamatan tenaga dan peraturan alam sekitar, permintaan terhadap sistem automasi pintar dan sistem tenaga mampan dijangka terus meningkat.
“Syarikat yang tangkas, inovatif dan berfokus kepada pelanggan seperti Swift Energy berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang ini.
“Walaupun kami berwaspada terhadap ketidaktentuan makroekonomi dan geopolitik, kami akan terus meneroka peluang baharu serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan,” katanya. – UTUSAN