Santa Fe: SUV anggun, ‘pintar’

Santa Fe: SUV anggun, ‘pintar’

SANTA Fe
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAH, cun! Padu keretanya!

Itu reaksi spontan dua rakan apabila ditunjukkan gambar Hyundai Santa Fe hibrid yang saya pandu uji kepada mereka. Sekali tengok sahaja mereka sudah tertawan.

Itu baru lihat gambar, belum lagi tengok depan mata. Justeru, dari segi reka bentuk, bolehlah saya katakan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini memikat, sedap mata memandang.

Dari sudut pandang depan, gril lebar termasuk gril aliran udara pada bahagian bawah membuatkan SUV buatan Korea Selatan ini nampak lebih sporty. Ditambah corak geometri pada gril yang seolah-olah bercantum dengan lampu depan mempamerkan ciri-ciri asli reka bentuk Hyundai.

Lampu pencahayaan siang (DRL) diod pancaran cahaya (LED) berbentuk T di sudut kiri dan kanan menambahkan lagi keunikan rupa kenderaan ini.

Dari bahagian tepi, kedudukan DRL yang selari dengan lampu belakang menyerlahkan ciri-ciri tersendiri Santa Fe. Lengkungan pada rim tayar 17-inci melahirkan karakter garang.

Bagaimana pula pandangan dari belakang? Reka bentuk Santa Fe nampak ‘langsing’ meskipun ini kenderaan tujuh penumpang. Pemantul cahaya dan plat kelincir yang lebar secara tidak langsung mewujudkan tiga jaluran estetik.

Di bahagian dalam, bahan berkualiti yang digunakan pada setiap sudut termasuk kerusi dan stering kulit menjadikan kenderaan ini nampak mewah. Ada skrin sentuh 8-inci tanpa wayar untuk aplikasi Android Auto dan Apple CarPlay dengan pengecaman suara.

Di sebelah kiri tepi pemandu ada ruang untuk mengecas tanpa wayar telefon bimbit. Ia mengingatkan saya dengan kemudahan sama pada tempat duduk penumpang kereta api laju KTX di Korea Selatan sewaktu berkunjung ke Seoul dahulu.

Dalam pandu uji ini, saya bergerak dari Ampang menuju Genting Sempah menggunakan Jalan Gombak tanpa melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (Karak). 

Saya pilih jalan lama sejauh kira-kira 40 kilometer (km) ini untuk menguji kestabilan serta daya tindak balas Santa Fe. Ternyata saya masih rasa relaks tatkala memutar stering ke kiri dan kanan melalui jalan sempit dan berselekoh pendek ini. 

Sesekali melalui jalan tidak rata dan berlubang, ia tetap stabil tanpa mengganggu pemanduan. Ada sekali dua saya terpaksa mengikut lori pasir dari belakang. 

Namun, kecekapan dan tindak balas enjinnya membuatkan saya tidak ragu-ragu memotong di selekoh tajam.

Dari Genting Sempah, saya mendaki Gohtong Jaya berketinggian kira-kira 1,200 meter dari aras laut. Sekali lagi dapat dirasakan daya pecutannya begitu lancar ketika naik dan turun laluan berselekoh sejauh 15 km walaupun hanya dengan mod Eco.

Saya kemudian meneruskan pemanduan ke Bentong melalui Lebuh Raya Karak. Mahu merasai pemanduan lebih agresif, saya sesekali bertukar ke mod Sport. 

Dapatlah memecut SUV ini di lebuh raya. Ternyata stabil dan meyakinkan dalam kelajuan tinggi meskipun banyak selekoh.

Ketika mahu memotong semasa fokus sepenuhnya perlu diberikan di hadapan, monitor lihat titik buta (BVM) memastikan saya boleh menukar laluan dengan selamat. Kemudahan ini berfungsi secara automatik sebaik sahaja signal kiri atau kanan menyala.

BVM ternyata suatu kelebihan yang ada pada Santa Fe kerana semua sedia maklum, banyak kemalangan berlaku akibat pemandu tidak dapat melihat kenderaan lain yang datang dari sisi disebabkan terhalang oleh titik buta.

Sewaktu tiba di Lembah Klang dari Bentong, warga kota sedang berpusu-pusu pulang dari tempat kerja masing-masing. Sengaja saya pilih laluan menuju Semenyih untuk merasai pemanduan Santa Fe dalam kesesakan lalu lintas.

Kawasan yang padat dengan taman-taman perumahan ini menyebabkan semua laluan masuk ke situ penuh sesak. Mujurlah ada sistem pacu gear melalui wayar menggantikan tombol gear konvensional, secara tidak langsung memberi keselesaan kepada pemandu yang terpaksa kerap menukar gear.

Saya terpaksa menjawab mesej penting dalam telefon bimbit tapi jalan sesak pula. Nasib baik ada sistem amaran kenderaan hadapan mula berjalan (LVDA), dapatlah saya baca mesej semasa kenderaan berhenti. 

Jadi, setiap kali kenderaan di hadapan saya bergerak, amaran berbunyi. Tidaklah saya kena hon oleh kenderaan di belakang kerana leka dengan telefon bimbit.

Kedudukan konsol pada bahagian tengah yang tinggi menjadikan tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelahnya rasa seperti berada di atas kerusi tangan. Ini secara tidak langsung memberi keselesaan sewaktu terperangkap dalam kesesakan atau perjalanan jauh.

Ciri-ciri istimewa lain ada pada Santa Fe adalah platform next-gen yang dibina mengubah bentuk subkerangka sebelum ini. Bar struktur yang menyokong transmisi (rear cross member bushing) memberi penambahbaikan dalam mengawal hentakan permukaan jalan.

Subkerangka ini berkesan menyerap impak dari tayar dan suspensi menjadikan pemanduan lebih lancar serta selesa.

Struktur lintasan canggih yang dipasang pada SUV ini menyerap hentakan dengan mengoptimumkan kuasa semasa berlaku pelanggaran.

Kerangka ringan yang digunakan juga meningkatkan penjimatan bahan api selain menjadikan ruang dalaman lebih luas untuk penumpang dan barangan.

Sebagai kereta untuk keluarga, terdapat ciri-ciri keselamatan, iaitu sistem Deria Pintar Hyundai Aras 2. Antaranya ada amaran sekiranya penumpang belakang masih belum keluar. 

Ini dapat menghindari ibu bapa daripada meninggalkan anak mereka secara tidak sengaja di dalam kenderaan. 

Santa Fe juga didatangkan dalam model enjin turbo diesel 2.2 liter dengan transmisi 8-kelajuan dwi-klac automatik yang menghasilkan 193 ps dan 440 Newton meter (Nm). Model 2.2 liter pacuan semua roda (AWD) diesel dilengkapi sistem cengkaman Hyundai (HTRAC) bagi mengawal kenderaan secara lebih baik pada bentuk muka bumi ekstrem. 

Kesemua model Santa Fe ada jaminan bateri hibrid tanpa had jauh perjalanan selama lapan tahun. Sekiranya kuasa bateri (SOH) menurun 70 peratus sewaktu dalam tempoh jaminan, Hyundai akan menggantikannya dengan yang baharu secara percuma.

Santa Fe adalah kenderaan elektrik hibrid (HEV) pertama dalam kategori segmen-D (kereta keluarga besar) SUV yang menyediakan penjimatan dari segi penggunaan bahan api. 

Ia menggunakan enjin hibrid Hyundai SmartStream. Enjin petrol hibrid cas turbo 1.6 liter ini didatangkan dengan teknologi tempoh injap pembolehubah selanjar (CVVD) pertama di dunia yang membolehkan prestasinya dioptimumkan dengan pelarasan tempoh penggunaan injap berdasarkan tahap pemanduan.

Gabungan enjin petrol cas turbo dan motor elektrik menyediakan penjimatan sehingga 1,000 km untuk 67 liter bahan api tanpa menjejaskan prestasi serta kuasa. Gabungan sistem ini menghasilkan pengeluaran sebanyak 230 ps (kuasa kuda) atau 5,500 rpm (putaran seminit) pada 1,000 hingga 4,500 rpm. 

Ia direka untuk mengurangkan pengeluaran asap tanpa menjejaskan pemanduan bertenaga serta dinamik.

Terdapat empat mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco (fokus kepada kecekapan bahan api secara maksimum dengan menyelaras tindak balas pendikit dan pertukaran gear); Normal (untuk situasi pemanduan standard); Sport (meningkatkan pemanduan dinamik dengan pertukaran daya pecutan pantas); dan Smart (ikut gaya pemanduan secara automatik mengikut pilihan pemandu dan menyelaras pertukaran gear).

Variasi hibrid ada enam gear automatik yang boleh bertukar antara penggunaan petrol dan kuasa elektrik secara lancar.

Didatangkan dalam empat warna pilihan iaitu Jet Black, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea.

Ternyata tiada kelemahan besar yang saya temui pada Santa Fe sepanjang pandu uji sejauh 350 kilometer. Saya merasakan SUV untuk keluarga ini cukup selesa, jimat bahan api, selain nampak anggun.

Kalau ada yang tanya, praktikalkah beli Santa Fe hibrid pada harga bermula RM178,888 ini? Ya, kalau kita perlukan kenderaan yang boleh bawa ramai ahli keluarga dan pada masa sama nampak sporty, kuasa enjinnya padu, ditambah pelbagai ciri pintar.

Saya berikan markah ‘lulus!’-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×