Rumah mampu milik gagal disebabkan faktor lokasi, mutu binaan

Rumah mampu milik gagal disebabkan faktor lokasi, mutu binaan

RUMAH mampu milik perlu dibina dengan lokasi yang strategik serta mutu binaan yang baik bagi menarik pembeli. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rumah mam­pu milik berharga bawah RM300,000 terus mencatat kadar tidak terjual yang tinggi disebabkan faktor lokasi yang tidak strategik dan mutu binaan yang tidak memuaskan, bukan kerana harga yang tidak mampu dibayar.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh berkata, ketidaksepadanan tersebut turut berpunca daripada isu kemudahan akses ke kawasan berkenaan.

“Segmen hartanah bernilai tinggi menunjukkan prestasi lebih seimbang kerana wujudnya permintaan kukuh selari dengan penawaran. 

“Sebaliknya, projek dalam kategori mampu milik lebih banyak terperangkap dalam senario overhang,” katanya ketika membentangkan dapatan kajian pasaran dan laporan kemampanan PropertyGuru 2024 di sini semalam.

Dalam laporan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), sebanyak 7,135 unit kediaman berharga bawah RM300,000 masih belum terjual setakat suku pertama 2025, melibatkan nilai keseluruhan RM1.58 bilion, iaitu hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan hartanah overhang. 

Kenneth berkata, walaupun rumah-rumah ini diklasifikasikan sebagai mampu milik dari segi harga, faktor bukan kewangan seperti lokasi yang kurang menarik, kesesakan lalu lintas dan mutu kehidupan yang rendah telah menyumbang kepada kekurangan minat dalam kalangan pembeli.

“Dalam membuat keputusan pembelian, pengguna turut mengambil kira kos tersembunyi seperti masa perjalanan, kemudahan harian dan keselamatan persekitaran. 

“Oleh itu, nilai sesebuah hartanah memainkan peranan penting, bukan hanya tanda harganya,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, ketidaktentuan dalam dasar tarif Amerika Syarikat (AS) turut memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan, terutamanya dalam sektor pelaburan dan pasaran hartanah. 

Katanya, walaupun terdapat jangkaan penurunan tarif sebanyak 22 peratus, kebimbangan terhadap ketidakpastian masa depan masih menyelubungi pasaran.

“Tarif itu telah mencetuskan kejutan awal dalam pasaran. Bagaimanapun, selepas fasa penyesuaian, kemahiran pencarian pelanggan pulih dengan pantas dan kini menunjukkan pertumbuhan yang kukuh. 

“Kami melihat trend pencarian hartanah meningkat dari bulan Januari hingga Mac menunjukkan pasaran masih kukuh,” katanya.

Menurut beliau, pasaran hartanah juga mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna, terutama dalam kalangan pembeli rumah pertama. 

“Data menunjukkan bahawa majoriti pembeli rumah baharu adalah individu muda berusia sekitar 24 tahun, yang kini lebih cenderung untuk memilih unit pembangunan baharu, sekiranya harga adalah setanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN