Ringgit kukuh, berpotensi cecah RM4 berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit kukuh, berpotensi cecah RM4 berbanding dolar AS

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit terus mencatat prestasi memberangsangkan dan dijangka mampu mencecah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya aliran pengukuhan ini berterusan.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka kukuh pada 4.2340/4.2380 berbanding dolar AS daripada 4.3220/4.3280 pada Jumaat dan meneruskan trend pengukuhan apabila mencecah 4.19 sedolar AS pada dagangan tengah hari.

Mata wang tempatan kemudian ditutup pada 4.2080/4.2160.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan itu dilihat sebagai satu pencapaian positif dalam pasaran pertukaran mata wang, meskipun ringgit sebelum ini mengalami penyusutan susulan pengumuman dasar tarif oleh Presiden AS, Donald Trump.

Menurutnya, walaupun ramai meramalkan ringgit akan terus lemah akibat tekanan tersebut, aliran semasa menunjukkan sebaliknya apabila mata wang tempatan kembali mengukuh berikutan kelemahan dolar AS yang ketara.

“Peningkatan ini didorong oleh faktor luaran, khususnya kelemahan dolar AS yang berlaku akibat ketidakpastian dasar ekonomi dan politik di AS.

“Tindakan tergesa-gesa Presiden Trump dalam mengenakan tarif telah mencetuskan kebimbangan pelabur, sekali gus menghakis keyakinan terhadap mata wang negara itu.

“Sekiranya aliran semasa ini berterusan, tidak mustahil ringgit mampu mencecah paras RM4 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, namun ia bergantung kepada hasil rundingan perdagangan antara China dan AS serta hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada April lalu, Malaysia merupakan antara 15 negara yang dikenakan tarif sebanyak 24 peratus oleh AS.

Bagaimanapun, situasi itu tidak melemahkan ringgit secara berpanjangan, sebaliknya pasaran melihat tindak balas global terhadap dasar Trump sebagai punca kejatuhan dolar AS.

Barjoyai berkata, walaupun ringgit mungkin mengalami penyederhanaan dalam momentum pengukuhan apabila mencapai paras keseimbangan, potensi untuk terus mengukuh masih terbuka sekiranya dolar AS kekal lemah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengukuhan ringgit memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik, khususnya melalui penurunan harga barangan import.

“Ini yang secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat dan menstabilkan harga barang.

“Selain itu, pengukuhan ringgit turut dijangka menarik minat pelabur asing untuk kembali ke pasaran Malaysia, sekali gus memberi rangsangan kepada Bursa Malaysia yang berpotensi mencecah paras 1,600 mata atau lebih dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa tarif import dari AS akan meningkatkan kos perniagaan dan para peniaga cenderung memindahkan beban kos tersebut kepada pengguna akhir.

“Justeru, ekonomi AS dijangka mengalami pertumbuhan yang lembap disertai dengan kadar inflasi yang tinggi.

“Keadaan ini menyukarkan pembuat dasar monetari seperti Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menurunkan kadar faedah. Oleh itu, nilai dolar AS melemah selepas Trump melaksanakan dasar tarif balas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya