KUALA LUMPUR: Radium Development Berhad (Radium) melancarkan Radium Hospital @ Ayer Keroh, kemudahan penjagaan kesihatan pertamanya di bawah unit baharu Radium Healthcare Sdn Bhd.
Pelancaran Radium Hospital yang bakal beroperasi pada separuh pertama 2028 itu menandakan perluasan strategik syarikat pembangunan rumah mampu milik tersebut ke sektor penjagaan kesihatan.
Pembangunan bersepadu seluas 2.87 hektar itu dibina berasaskan konsep kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup serta akan merangkumi komponen kediaman dan komersial yang menyokong hospital menerusi perniagaan penjagaan kesihatan sokongan serta kemudahan gaya hidup.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan berkata, penglibatan syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan merupakan lanjutan semula jadi kepada misi untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Seperti mana kami menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti dalam sektor hartanah, kami kini komited untuk menawarkan tahap kepercayaan, belas ihsan dan kecemerlangan yang sama dalam bidang penjagaan kesihatan,” katanya semasa majlis perasmian Radium Health dan Radium Hospital @ Ayer Keroh di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Unit Prestasi Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dr. Saravanan SR Sundaramurthy.
Radium Hospital @ Ayer Keroh akan menempatkan Pusat Kecemerlangan dalam bidang traumatologi, kardiologi, kesuburan dan neonatologi, bagi menangani keperluan kesihatan mendesak dan berkembang di Melaka, daripada trauma lebuh raya kepada penyakit jantung kronik dan cabaran kesuburan.
Model penjagaan ini berteraskan falsafah “pesakit diutamakan”, disokong oleh teknologi canggih dan amalan klinikal terbaik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Radium Healthcare, Dr. Arun Kumar berkata, visi Radium adalah untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang inklusif, beretika dan mudah menyesuaikan diri.
“Radium Hospital @ Ayer Keroh merupakan langkah pertama dalam membina rangkaian hospital berfokus komuniti yang memenuhi piawaian klinikal tertinggi sambil kekal mampu milik kepada orang ramai,” ujarnya.
Dengan lebih banyak projek penjagaan kesihatan dalam perancangan, Radium menyasarkan untuk menjadi peneraju transformasi dalam landskap penjagaan kesihatan negara, seiring usaha kerajaan meningkatkan akses kesihatan dan taraf hidup rakyat. – UTUSAN