Public Bank catat untung RM1.75 billion - Utusan Malaysia

Public Bank catat untung RM1.75 billion

TAY AH LEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi yang meningkat 5.6 peratus kepada RM1.75 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025, berbanding RM1.65 bilion yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu.

Prestasi itu disokong oleh margin faedah bersih yang stabil serta pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, pendapatan faedah dan pembiayaan bersih kumpulan meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM2.80 bilion.

Pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 18.9 peratus kepada RM772.1 juta berbanding dengan tempoh yang sama 2024.

Kumpulan terus mengekalkan kualiti aset yang baik, seperti yang ditunjukkan melalui nisbah pinjaman pengurangan nilai kasarnya yang rendah sebanyak 0.5 peratus pada akhir Mac 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, walaupun terdapat cabaran berterusan dalam persekitaran operasi, prestasi kewangan terkini Kumpulan Public Bank mempamerkan daya tahan asasnya yang teguh.

“Pengurusan kos yang berhemat menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 35 peratus, digabungkan dengan pertumbuhan hasil keseluruhan yang berterusan, pulangan ekuiti berada pada 12.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Public Bank mencatatkan jumlah pinjaman sebanyak RM430.1 bilion pada Mac 2025, yang menunjukkan kadar pertumbuhan pinjaman tahunan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2025.

Portfolio pinjaman domestik berkembang sebanyak 6.3 peratus kepada RM403.9 bilion pada kadar tahunan.

Kumpulan mengekalkan kedudukan teguh dalam segmen pembiayaan utama dengan pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan hartanah komersial domestik mencatatkan pertumbuhan tahunan masing-masing sebanyak 5.2 peratus, 15.3 peratus dan 7.0 peratus.

Ah Lek berkata, kumpulan berpegang teguh kepada usaha menjana pertumbuhan jangka panjang yang kukuh dan mampan.

“Kami akan terus meningkatkan kecekapan utama, memanfaatkan peluang yang wujud dan menyokong pelanggan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah dengan pantas.

“Dengan terus tangkas dan memandang ke hadapan, kami menyasarkan untuk terus memberi nilai mampan kepada semua pihak yang berkepentingan dengan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN