SEPANG: Inisiatif projek rintis penggunaan biodiesel sawit B20 bagi kenderaan dan jentera perkhidmatan darat (GSE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penggunaan B20 bukan sekadar simbolik permulaan sebuah projek, tetapi turut mencerminkan komitmen kementerian dalam mencapai pelepasan karbon sifar melalui pembangunan industri penerbangan yang mampan.
“Kita mahu memperkenalkan inisiatif di mana kita nak lihat lapangan terbang ini menggunakan biodiesel B20, sekarang ini mereka guna B10, jadi kita bawa kepada B20. Penggunaan B20 di sini lebih kurang 350,000 liter sebulan, tapi yang kita buat ini percubaan untuk B20.
“Ia merupakan inisiatif untuk negara sebab kita ada komitmen kepada dunia bahawa kita mahu capai pelepasan karbon sifar 2050. Jadi ini adalah permulaan perjalanan yang dibuat untuk lapangan terbang, sementara kita menunggu mandat baharu untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), bila jet guna SAF, GSE pun kita guna biodiesel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi Ground Service Equipment di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalin kerjasama selama 18 bulan bermula Februari lalu bersama Petronas Dagangan Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan Syarikat Teras Kembang Sendirian Berhad bagi pelaksanaan penggunaan biodiesel B20 berkenaan.
Dalam pada itu, Johari berkata, pada masa akan datang beliau menyasarkan semua pelabuhan di negara ini yang menggunakan biodiesel sawit B10 dalam operasi mereka untuk beralih kepada B20.
Katanya, ini kerana langkah tersebut merupakan sebahagian daripada proses yang sedang diteliti oleh kementerian bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050, selain menetapkan matlamat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
“Pada masa akan datang, saya mahu pelabuhan-pelabuhan seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Northport, Westport, PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas), Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Kuantan bagaimana boleh operasikan penggunaan biodiesel B20 ini.
“(Namun) bagi pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negara, kita masih belum bersedia sepenuhnya. Semua ini merupakan antara langkah yang kita ambil untuk pastikan bahawa negara kita sentiasa mendapat penarafan yang bagus dari segi isu perubahan iklim dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN