Pertumbuhan global dijangka melemah kepada 3.1% pada 2025

Pertumbuhan global dijangka melemah kepada 3.1% pada 2025

NIK MOHAMED DIN NIK MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi global dijangka menyusut kepada 3.1 peratus pada 2025 berbanding 3.2 peratus pada tahun lalu, berikutan dasar tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) yang terus menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa serta mencetuskan ketidaktentuan pasaran.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, pendekatan perlindungan AS telah menimbulkan kebimbangan terhadap perang perdagangan yang berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran utama termasuk ASEAN.

“Walaupun berdepan cabaran ini, ekonomi sedang pesat membangun di Asia terus menjadi pemacu utama pertumbuhan global.

“Meskipun pertumbuhan China dijangka perlahan menjelang pertengahan 2025, beberapa ekonomi utama lain kekal menunjukkan momentum kukuh,” katanya semasa Laporan Pasaran 2024 bagi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di sini, semalam. 

Beliau berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menekankan bahawa keadaan ekonomi yang stabil di beberapa negara membuka ruang untuk memperkukuh dasar makroekonomi dan melaksanakan reformasi struktur jangka panjang.

Katanya, India kekal sebagai ekonomi dengan kadar pertumbuhan tertinggi pada 6.4 peratus, manakala China dan Indonesia terus menyumbang besar kepada kemajuan ekonomi rantau Asia.

“Sementara itu, AS dijangka berkembang hanya pada kadar 2.2 peratus pada 2025. Bagi Malaysia, unjuran pertumbuhan kekal stabil iaitu 5.1 peratus pada 2024 dan 4.7 peratus pada 2025.

“Malaysia kekal mempunyai asas ekonomi yang kukuh, namun prestasi tahun ini masih bergantung kepada perubahan dasar tarif serta perkembangan landskap global yang semakin mencabar,” katanya.

Nik Mohamed Din berkata, rantau ASEAN dilihat menerima manfaat daripada peralihan rantaian bekalan global dari China, apabila semakin ramai pengeluar mengalihkan operasi ke negara seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia bagi memanfaatkan kos buruh yang lebih kompetitif dan mengelakkan tarif tinggi.

Menurut beliau, 68.2 peratus eksport Malaysia tertumpu ke pasaran ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Hong Kong, melibatkan produk utama seperti barangan elektrik dan elektronik, petroleum, minyak sawit, bahan kimia, serta mesin dan peralatan.

Katanya, aktiviti perindustrian turut mencatat pertumbuhan pesat dengan pembinaan kilang, gudang dan pusat servis baharu di rantau ini.

Mengulas harga minyak global, beliau berkata, industri berkenaan menunjukkan penurunan ketara ke paras terendah sejak pandemik Covid-19, didorong oleh ketidaktentuan berterusan serta jangkaan peningkatan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bermula April 2025.

“Penurunan harga memberi kesan kepada negara pengeluar, namun menguntungkan negara pengimport seperti Malaysia dalam usaha mengawal kos pengeluaran,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasaran saham utama di AS, Eropah dan Asia turut mencatat penyusutan, dengan sektor kewangan, teknologi dan eksport paling terjejas.

“Dolar AS juga menunjukkan penyusutan, manakala mata wang seperti yen, euro dan peso mengukuh susulan reaksi pelabur terhadap dasar perdagangan semasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN