PETALING JAYA: Pasaran kewangan Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan meskipun pasaran global dilanda ketidaktentuan berikutan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap rakan dagangnya baru-baru ini.
Menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), ringgit meningkat sebanyak 2.3 peratus tahun-ke-tahun berbanding dolar bersama kebanyakan mata wang serantau, disokong kelemahan mata wang negara maju itu serta sentimen pelabur yang kekal yakin terhadap prospek ekonomi Malaysia.
“Pasaran saham FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penurunan awal sebanyak 8.2 peratus selepas pengumuman tarif, mengikuti kejatuhan ekuiti global.
“Walau bagaimanapun, kerugian tersebut berbalik sejurus selepas penghentian tarif, dengan penutupan 1.1 peratus lebih rendah pada 25 April berbanding 2 April lalu.
“Kecairan pasaran pertukaran asing domestik kekal tinggi dengan purata perolehan harian sebanyak AS$18.8 bilion (RM79.55 bilion) tahun ke tahun dan pertumbuhan tahunan yang sihat sebanyak 6.8 peratus membolehkan syarikat domestik memenuhi keperluan pertukaran asing mereka.
“Ahli-ahli juga menyatakan minat yang semakin meningkat untuk menggunakan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan transaksi pelaburan merentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut jawatankuasa itu, pasaran bon domestik terus menarik permintaan kukuh dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) lelongan bon kerajaan sebanyak 3.01 tahun-ke-tahun berbanding 2.56 pada 2024.
“Kecairan di pasaran sekunder bertambah baik lagi dengan purata jumlah dagangan harian sebanyak RM7.3 bilion pada 2025 berbanding RM4.6 bilion pada 2024 dan paras tertinggi sebanyak RM15.5 bilion.
“Ahli-ahli juga mencatatkan bahawa permintaan domestik yang kuat terhadap bon korporat telah mengecilkan jurang hasil, menyediakan saluran yang kos efektif untuk aktiviti pengumpulan dana korporat,” katanya.
Dalam pembangunan pasaran, FMC memandang positif pertumbuhan pasaran kewangan Islam di Malaysia, terutamanya pembangunan pasaran sukuk yang mendalam dan dinamik.
“Secara khususnya, pasaran Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) telah berkembang dengan ketara dari segi saiz dan kecairannya, setanding dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) konvensional.
“MGII kini menyumbang 48 peratus daripada bon kerajaan yang belum matang dan 47 peratus daripada jumlah dagangan bon kerajaan pada 2025 dan ia disertai dengan peningkatan kesedaran serta penerimaan sukuk sebagai kelas aset oleh komuniti pelaburan global.
“Oleh itu, MGII kini disertakan dalam kebanyakan indeks bon global utama, termasuk Indeks Agregat Global Bloomberg dan Indeks Bon Kerajaan J.P. Morgan, Pasaran Membangun,” katanya. – UTUSAN