KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk memperkenalkan pakej khas bagi membantu sektor-sektor yang terkesan susulan pelaksanaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS), di samping mengurangkan impak ekonomi semasa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai bantuan yang akan disalurkan, dan terdapat beberapa perkara yang masih dalam perbincangan.
“Dalam perbincangan itu, kita mungkin menetapkan tempoh sehingga Julai kerana pada masa ini, tumpuan diberikan kepada rundingan dengan pihak AS.
“Apa juga keputusannya nanti, barulah kita dapat menilai impaknya. Buat masa ini, tarif 10 peratus dikenakan ke atas sesetengah sektor, manakala sektor lain seperti semikonduktor, perabot dan produk kayu dikecualikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Laporan Prestasi Suku Pertama 2025 Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sebaik sahaja keputusan muktamad rundingan dengan AS diketahui dan sektor serta rantaian bekalan yang terkesan dikenal pasti, kerajaan boleh membuat keputusan berhubung pelaksanaan pakej khas tersebut.
“MITI juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai ruang fiskal yang ada bagi menyalurkan bantuan bersasar itu.
“MITI memang berhasrat membantu sebanyak mungkin Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas, tetapi pada masa sama, kita perlu perhalusi keperluan fiskal negara,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meningkatkan skim jaminan sebanyak RM1 bilion menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus bagi membantu pengeksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menangani isu tarif AS.
Kerajaan turut menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
Dalam pembentangan laporan prestasi MITI, beberapa sektor utama dikenal pasti antara yang terkesan akibat pelaksanaan tarif AS.
Ia merangkumi sektor elektrikal dan elektronik (E&E), peralatan perubatan, farmaseutikal, automotif dan aeroangkasa, mesin dan peralatan (M\&E), perabot serta sektor berasaskan minyak sawit dan getah. – UTUSAN