Influenza A: Dua kanak-kanak maut, tiada vaksin khusus

Influenza A: Dua kanak-kanak maut, tiada vaksin khusus

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian dua kanak-kanak baru-baru ini mempunyai kaitan dengan jangkitan virus in­fluenza A.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua kanak-kanak berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Samarahan dan seorang lagi berusia 11 tahun di Terengganu disahkan positif virus berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pun­­­­ca sebenar kematian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada influenza menjadi faktor utama.

“Ya, ada dua kes kematian yang ada terkaitan dengan influenza, kedua-duanya telah dikesan mengalami in­fluenza A.

“Namun dari sudut apa yang dikatakan sebagai faktor penyebab ataupun sebab kematian itu perlu perlu dikenal pasti. Bagi menentukan sama ada ia penyebab utama kematian, ia perlu melalui proses mortality review (mengesahkan punca sebenar kematian) untuk menilai faktor sebenar yang menyebabkan kematian tersebut,” kata­nya di Dewan Rakyat, semalam.

Dzulkefly memberitahu, vak­sin universal tidak dapat dibangunkan buat masa ini bagi mencegah influenza ke­rana virus itu mengalami mutasi (perubahan genetik) yang kerap.

Bagaimanapun katanya, se­tiap tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menjalankan pe­mantauan bagi mengenal pasti virus influenza yang dominan pada tahun berkenaan.

Katanya, berdasarkan dapatan itu, vaksin baharu akan dibangunkan bentuk vaksin quadrivalent merangkumi beberapa jenis influenza.

“Virus influenza melalui mutasi yang sangat kerap, jus­teru, sehingga hari ini kita tidak dapat membangunkan satu universal vaksin,” katanya.

Mengulas mengenai ujian pengesanan virus berkenaan, Dzulkefly berkata, ujian makmal tidak dijalankan secara rutin bagi semua kes Influenza-Like Illnesses (ILI) kerana majoriti kes hanya melibatkan gejala ringan yang boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan klinikal.

“Diagnosis dapat dibuat berdasarkan simptom tanpa perlu pengesahan makmal, kerana ujian tersebut tidak mengubah rawatan yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar, beliau berkata, KKM belum mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mengekang penularan jangkitan influenza A di khalayak awam, sebaliknya kanak-kanak atau individu yang bergejala disarankan perlu mengelakkan berada di tempat sesak.

“Sesiapa yang bergejala jangan keluar (rumah), elakkan berada di tempat sesak atau lokasi ada keramaian seperti di pusat beli-belah.

“(Buat masa ini) Kita (KKM) tidak mewajibkan (pelitup muka), kita hanya menggalakkan (pakai pelitup muka),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN