OPR dijangka turun 25 mata asas pada separuh kedua

OPR dijangka turun 25 mata asas pada separuh kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR)  sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini, berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang diunjur berkembang pada kadar lebih perlahan dalam tempoh akan datang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan itu sekali gus membuka ruang kepada pelonggaran dasar monetari oleh BNM.

“Pada pandangan kami (penganalisis ekonomi), terdapat kemungkinan OPR diturunkan sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2025.

“Buat masa ini, pihak BNM telah menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas iaitu daripada dua peratus kepada satu peratus bakal menyuntik kecairan kedalam sistem perbankan sebanyak RM19 billion yang akan berkuatkuasa pada 16 Mei nanti. 

“Langkah ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan dalam pembiayaan didalam sistem perbankan bagi tujuan pelaburan dan penggunaan yang sekaligus akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia

Khamis lalu, BNM mengekalkan OPR pada paras 3.0 peratus dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini, sekali gus menolak jangkaan sebahagian penganalisis bahawa kadar itu akan diturunkan.

Bank pusat turut mengekalkan pendirian bahawa ekonomi global dan domestik masih berada di landasan stabil, disokong oleh pasaran buruh yang sihat, pemulihan berterusan eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta peningkatan ketibaan pelancong asing ke negara ini.

Mengulas mengenai prestasi itu, Afzaniam berkata, BNM dilihat masih mengekalkan penilaian ekonomi global dan domestik yang masih stabil. 

“Pada ketika ini, dasar monetari dianggap sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan pasaran buruh yang masih sihat, aktiviti eksport dalam sektor E&E yang masih lagi positif serta kemasukan pelancong asing yang berterusan. 

“Namun, pada masa yang sama tinjauan ekonomi pada masa akan datang dilihat mencabar berikutan kejutan tarif oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS). 

“Justeru, risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih lembab dilihat kian meningkat,” ujarnya. 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan mengekalkan OPR telah dijangkakan berdasarkan data semasa yang menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh serta tidak memerlukan pelonggaran dasar monetari ketika ini.

“Data seperti kadar inflasi yang terkawal pada paras 1.5 peratus, peningkatan ketara eksport negara serta kadar pengangguran yang lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik pada 2019, menjadi petunjuk bahawa ekonomi Malaysia kekal berada di landasan yang positif.

“Kadar OPR semasa masih menyokong pertumbuhan eko­nomi dan tidak memberikan tekanan kepada inflasi mahupun pasaran buruh,” katanya. 

Beliau berkata, MPC BNM akan terus memantau pelbagai faktor luaran yang berpotensi memberi kesan terhadap prestasi ekonomi negara.

“Antara yang diberi perhatian termasuk ketegangan geopolitik, dasar tarif AS termasuk Trump Tariff serta perubahan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang dijangka diketahui hasilnya dalam tempoh 60 hari lagi turut menjadi faktor penting kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada industri tempatan dan prestasi eksport negara,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan data-data semasa akan menjadi asas penting dalam menentukan unjuran sama ada kadar OPR perlu diturunkan atau dinaikkan dalam mesyuarat akan datang.

“Ketepatan dalam membuat keputusan dasar monetari ini penting agar ia selari dengan dasar fiskal kerajaan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang secara mampan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×