KUALA LUMPUR: Microsoft memperkukuh komitmennya terhadap transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dengan mengumumkan ketersediaan Rantau Awan Malaysia West, rantau awan hiperskala pertama di negara ini yang terletak strategik di Greater Kuala Lumpur.
Kemudahan yang diumumkan pada acara Jelajah AI Microsoft di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia tersebut membolehkan organisasi tempatan memanfaatkan capaian kepada perkhidmatan awan yang boleh di skala, tersedia dan berdaya tahan.
Ia disokong oleh kemudahan penempatan data dalam negara, tahap keselamatan tinggi serta kadar kependaman lebih rendah.
Beberapa organisasi, perusahaan dan syarikat pemula sudah pun memanfaatkan Rantau Awan Malaysia West termasuk Petronas, pembekal tenaga dan penyelesaian global Malaysia yang akan berperanan sebagai rakan utama.
Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata, berdasarkan Laporan Tahunan Indeks Trend Pekerjaan, 83 peratus tenaga kerja tempatan bersetuju bahawa mereka kekurangan masa dan tenaga untuk melaksanakan kerja, namun dalam masa sama, 61 peratus pemimpin Malaysia percaya produktiviti mesti meningkat.
“Mereka merancang untuk menggunakan AI untuk memenuhi permintaan, dengan 86 peratus pemimpin Malaysia yakin akan menggunakan ejen AI sebagai buruh digital untuk mengembangkan kapasiti tenaga kerja dalam tempoh 12 hingga 18 bulan ke depan.
“Dengan Rantau Awan Malaysia West baharu Microsoft yang dibina di dalam negara, kami teruja akan pelbagai peluang yang timbul bagi para pelanggan merentasi perusahaan sektor awam dan syarikat pemula untuk menjadi lebih pantas, tangkas, dan inovatif,” katanya di sini hari ini.
Acara tersebut turut menyaksikan pelancaran Bina AI Malaysia, sebuah inisiatif untuk membantu memacu transformasi AI Malaysia fasa seterusnya.
Satu tumpuan utama di bawah inisiatif berkenaan termasuk usaha menubuhkan Pusat Inovasi AI Negara Microsof, susulan pengumuman yang dibuat oleh Microsoft pada 2024 untuk melabur AS$2.2 bilion (RM9.35 billion) bagi mencapai cita-cita awan dan AI Malaysia.
Microsoft akan bekerjasama dengan EY di Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan Malaysia di bawah Kementerian Digital dan Pusat Kepimpinan Petronas untuk menubuhkan sebuah pusat yang berfungsi sebagai hab strategik bagi membangunkan penyelesaian dunia sebenar, memupuk bakat sedia masa depan dan memaparkan keupayaan AI negara.
Selain itu, Microsoft mengumumkan kejayaannya melengkapkan 400,000 pekerja tempatan dengan kemahiran berkaitan AI daripada sektor kerajaan, syarikat besar, sederhana dan kecil, syarikat pemula, institusi pendidikan, golongan memerlukan dan juga pekerja am.
Ia kini dalam landasan tepat untuk memenuhi sasaran melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025 menerusi inisiatif AI Demi Masa Depan Malaysia yang diperkenalkan pada Disember 2024.-UTUSAN