Keputusan lebih lemah, penarafan YTL diturunkan

Keputusan lebih lemah daripada jangkaan, penarafan YTL diturunkan

KEPUTUSAN kewangan yang kurang memberangsangkan dipengaruhi oleh prestasi lemah unit utamanya, PowerSeraya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penarafan YTL Power International Berhad diturunkan oleh beberapa firma penyelidikan susulan keputusan kewangan yang dicatatkan lebih lemah daripada jangkaan.

Hasil kumpulan bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Mac 2025 hanya menyumbang 71 peratus daripada anggaran setahun penuh konsensus, dipengaruhi oleh prestasi lemah unit utamanya, PowerSeraya.

Susulan prestasi itu, CGS International dan TA Securities masing-masing menurunkan saranan mereka kepada ‘pegang’ serta menyemak turun unjuran pendapatan bagi mencerminkan volum yang lebih rendah daripada pengeluar elektrik berpangkalan di Singapura itu.

CGS International turut mengurangkan unjuran keuntungan selepas cukai YTL Power bagi tahun kewangan 2025 sebanyak tiga peratus, selain menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.75 sesaham berbanding sebelum ini.

TA Securities pula menyemak turun unjuran pendapatan syarikat itu sebanyak enam peratus untuk 2025, 13 peratus untuk 2026 dan kira-kira 12 peratus bagi 2027.

“Unjuran yang disemak ini turut mengambil kira jangkaan lebih konservatif terhadap PowerSeraya, memandangkan potensi kesan ketidaktentuan perdagangan luar terhadap ekonomi Singapura.

“Kami menurunkan TP kepada RM4.02 daripada RM5.77 sebelum ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak AS$120 juta (RM395.7 juta) daripada PowerSeraya bagi suku terbaharu akan berterusan pada suku berikutnya.

Turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 600 megawatt (MW) dijangka mula beroperasi pada penghujung 2028, manakala projek solar berskala besar (LSS) 500MW yang dirancang YTL Power masih bergantung kepada kadar pengambilan pusat data di Johor.

Namun begitu, HLIB Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP tidak berubah sebanyak RM5.60 sesaham atau RM4.16 selepas pencairan daripada waran bonus, berdasarkan penilaian saham yang dilihat menarik dan diniagakan pada paras harga hadapan pendapatan sembilan hingga 10 kali ganda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×