PETALING JAYA: MIDF Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada kadar sederhana 4.0 peratus bagi 2025, berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan pertumbuhan berkenaan disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik.
Bagaimanapun, pertumbuhan perdagangan luar dijangka perlahan, terutamanya disebabkan oleh permintaan yang semakin lemah dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), susulan pelaksanaan Tarif Perdagangan AS.
“Walaupun ketegangan perdagangan global dijangka menjejaskan eksport, kami yakin ekonomi Malaysia masih mampu berkembang hasil permintaan dalam negara yang kukuh.
“Turut membantu adalah pasaran buruh yang stabil, kenaikan pendapatan, bantuan tunai kerajaan, serta perbelanjaan pelancong yang meningkat,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut memberi amaran, ketidaktentuan dasar serta permintaan luar yang lemah boleh memberi tekanan kepada sektor eksport, khususnya pembuatan, perlombongan dan pertanian.
“Buat masa ini, belum ada keperluan untuk melonggarkan dasar kewangan, tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan masih ada ruang untuk membantu ekonomi jika pertumbuhan semakin perlahan,” katanya.
Ekonomi Malaysia dilihat masih berkembang pada kadar sederhana, walaupun momentum pertumbuhan dijangka berkurang.
Ini berdasarkan data Indeks Utama (LI) yang tidak menunjukkan perubahan pada Februari 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Indeks Serentak mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 2.0 peratus, dengan bacaan mencecah 127.2 mata.
Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, bacaan tahunan bagi LI pada Februari 2025 adalah 112.4 mata, turun sedikit sebanyak 0.004 mata.
Penurunan tersebut disebabkan oleh pengurangan besar dalam bilangan unit rumah yang diluluskan (-34.5 peratus) serta nilai import logam bukan besi dan logam berharga lain (-21.5 peratus).
MIDF Research menjangkakan permintaan domestik yang kukuh, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, serta pelaburan yang meningkat akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara walaupun berdepan cabaran tarif dan permintaan global yang lemah. – UTUSAN