PETALING JAYA: Jentayu Sustainables Berhad (JSB) mengumumkan penstrukturan semula pengurusan yang berkuat kuasa serta-merta, sebagai sebahagian daripada strategi untuk menyelaraskan kepimpinan, mempertingkat pelaksanaan projek dan menyatukan organisasi di bawah satu visi yang lebih kukuh.
JSB berkata, perubahan utama dalam struktur pengurusan iaitu Datuk Beroz Nikmal Mirdin melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif dan kini dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan.
“Baevin Thiagarajah pula meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, namun akan terus terlibat dengan syarikat sebagai penasihat dalaman.
“Selain itu, Abdul Halim Jantan kini dilantik semula daripada Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan kepada Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, sumbangan Baevin amat penting dalam fasa pra-pembangunan Projek Oriole, projek hidroelektrik aliran sungai berkapasiti 162MW milik JSB di Sabah.
“Di bawah kepimpinannya, syarikat berjaya memperoleh kelulusan peraturan utama, melengkapkan kajian teknikal, dan merangka asas projek yang kukuh, membina asas kepada kebolehlaksanaan kewangan dan kejayaan jangka panjang projek tersebut.
“Baevin memainkan peranan penting dalam mewujudkan asas yang kini menjadi platform pembangunan kami. Saya menghargai sumbangan beliau sebagai CEO dan menantikan kerjasama berterusan dalam fasa seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Beroz berkata, penstrukturan ini dicadangkan oleh beliau bagi menyelaraskan struktur kepimpinan dengan pendekatan operasinya.
Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, beliau kini akan menyelia aspek pelaksanaan projek dan hal ehwal korporat, memperkenalkan model kepimpinan yang lebih bersepadu bagi mempercepat penyampaian nilai.
“Dengan Projek Oriole menghampiri penutupan kewangan dan beberapa lagi projek dalam perancangan, kita memerlukan pelaksanaan yang lebih cekap dan kawalan operasi yang lebih ketat.
“Saya memikul tanggungjawab ini dengan serius dan percaya struktur ini akan membantu kami memberikan nilai yang lebih baik kepada pemegang saham,” tambahnya.
Beroz, yang pernah berkhidmat di PJM Interconnection LLC, Tenaga Nasional Berhad dan Khazanah Nasional Berhad, membawa pengalaman luas dalam pelaksanaan projek, kewangan korporat dan tadbir urus strategik, keupayaan yang dilihat kritikal ketika JSB beralih daripada fasa pra-pembangunan kepada pelaksanaan dan penskalaan aset.
Projek Oriole kekal berada di landasan yang betul, dengan sokongan berterusan daripada rakan pembiayaan JSB seperti Maybank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB), yang disifatkan oleh Beroz sebagai tanda keyakinan terhadap keupayaan syarikat. – UTUSAN