PETALING JAYA: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd meningkat kepada RM468.80 juta pada suku pertama 2025 daripada RM456.65 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Hasil bagaimanapun merosot kepada RM1.59 bilion pada suku dikaji daripada RM1.62 bilion setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh penurunan hasil daripada segmen pengangkutan gas dan regasifikasi berikutan pelarasan tarif menurun yang berpunca daripada faktor perkongsian penggunaan gas dalaman yang lebih rendah pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, prestasi keseluruhannya bagi tahun kewangan 2025 dijangka kekal berdaya tahan dan stabil, walaupun terdapat gangguan operasi akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada April lalu.
Menurutnya, semua segmen perniagaan teras dijangka mengekalkan kekuatan masing-masing dan terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.
“Berdasarkan keadaan semasa di lokasi dan tahap kerosakan aset sementara menunggu hasil siasatan rasmi, jumlah kesan kewangan daripada kerja-kerja pembaikan dan pemulihan dianggarkan kira-kira RM170 juta.
“Sebahagian besar daripada perbelanjaan ini akan diperoleh daripada modal sebagai sebahagian daripada perbelanjaan modal syarikat, dengan pemulihan sebahagian kos dijangka melalui tuntutan insurans.
“Kehilangan hasil yang berpunca daripada gangguan perkhidmatan sementara dijangka minimum iaitu kira-kira RM20 juta, hasil daripada kerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, penghantar dan pengedar gas yang membolehkan perkhidmatan saluran paip gas dipulihkan dan bekalan yang stabil dapat dilakukan dengan cepat,” katanya.
Petronas Gas berkata, jumlah anggaran kesan kepada keuntungan daripada kerja-kerja pemulihan aset dan kehilangan hasil diunjur sekitar RM60 juta.
“Sebagai tindak balas terhadap insiden itu, kumpulan sedang mempergiat tumpuannya terhadap pengurusan risiko yang kukuh, daya tahan operasi dan langkah-langkah mitigasi yang proaktif.
“Kami kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kecemerlangan operasi yang paling tinggi sambil terus mengamalkan pengurusan kos yang berdisiplin dan pertumbuhan strategik jangka panjang bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan perniagaan,” katanya.
Pengarah syarikat meluluskan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham biasa berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang akan dibayar pada 24 Jun 2025. – UTUSAN