KUALA LUMPUR: Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) merangka strategi proaktif dengan menilai semula portfolio aset sedia ada yang dilihat masih mempunyai potensi kukuh, sebagai langkah memperkukuh prestasi kewangan syarikat itu.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Iskandar Ismail berkata, penambahbaikan itu akan dipacu menerusi beberapa strategi teras termasuk meningkatkan hasil, mengekalkan nilai aset sedia ada serta memperoleh hartanah baharu yang mampu menjana pulangan setara atau melebihi penanda aras dalaman sebanyak 6.5 peratus.
“Seperti yang dibentangkan kepada pemegang unit, kami mengambil pendekatan berwawasan dengan menganalisis profil aset Hektar secara menyeluruh.
“Banyak aset kami sudah lama, namun masih memiliki potensi tinggi. Sebagai contoh, Mahkota Parade berusia 30 tahun manakala Subang Parade telah beroperasi selama 36 tahun.
“Aset lama seperti ini memerlukan pelaburan dan penambahbaikan berterusan bagi mengekalkan kualiti serta memastikan kami dapat menawarkan kadar sewa pasaran yang kompetitif,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Hektar REIT, di sini semalam.
Zainal Iskandar berkata, pihaknya turut meneroka strategi pencairan dan penjanaan nilai terhadap aset sedia ada memandangkan penilaian pasaran semasa adalah jauh lebih rendah berbanding nilai aset bersih (NAV) syarikat.
“Jika dilihat prestasi kewangan Hektar dalam tempoh 10 hingga 12 tahun lalu, kami membayar dividen sekitar 10.5 peratus sesaham, namun kinibdividen yang dibayar lebih rendah berikutan penurunan pulangan dan pendapatan daripada aset-aset sedia ada.
“Justeru, untuk meningkatkan semula pendapatan atau mendapatkan kadar sewa lebih tinggi, kami perlu terus melabur dalam aset-aset ini. Itulah yang sedang kami lakukan di Subang Parade,” katanya.
Tambah beliau, Hektar REIT telah melaksanakan pelaburan besar dalam usaha penambahbaikan aset bagi meningkatkan nilai hartanah dan memperoleh hasil sewaan lebih tinggi.
“Semua ini adalah usaha bersepadu seperti peningkatan hasil, penambahbaikan aset, pengambilalihan hartanah baharu serta meneroka kaedah memonetisasi aset lama dan mengalihkan modal ke arah kedudukan yang lebih menguntungkan,” katanya. – UTUSAN