Woltemade balas kepercayaan Nagelsmann

Woltemade balas kepercayaan Nagelsmann

Penyerang Jerman, Nick Woltemade (kiri) menjaringkan gol kedua pasukannya dalam saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Luxembourg, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUXEMBOURG: Jerman mengukuhkan cengkaman di puncak Kumpulan A selepas dua jaringan Nick Woltemade memastikan kemenangan 2-0 ke atas Luxembourg dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.

Penyerang Newcastle United itu, meledak kedua-dua gol pada separuh masa kedua, sekali gus membawa pasukan juara dunia empat kali itu semakin hampir mengesahkan slot automatik ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Woltemade yang turut menjaringkan gol kemenangan ketika Jerman menewaskan Ireland Utara bulan lalu, membuka tirai jaringan pada minit ke-49 selepas menyambar hantaran Leroy Sane.

Jaringan itu hadir ketika Jerman bergelut dan lebih banyak bertahan pada babak pertama.

Pemain itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-69 untuk memastikan Jerman kekal di tangga teratas dengan 12 mata manakala Slovakia di tempat kedua hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.

Kedua-dua pasukan akan berentap di Leipzig awal pagi Selasa ini bagi aksi terakhir kumpulan, dengan Jerman hanya perlu mengelak kekalahan untuk mengesahkan slot automatik ke Piala Dunia.

Sebelum perlawanan, jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menaruh keyakinan tinggi terhadap Woltemade dan penyerang Newcastle itu membuktikan kata-katanya tepat.

“Kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama. Kami hanya mampu melakukan hantaran ke kiri dan ke kanan dan meletakkan diri dalam tekanan.

“Tetapi kami lebih baik pada separuh masa kedua. Saya tahu ia bukan perlawanan cantik, tetapi kami berikan segala-galanya, menekan habis-habisan dan akhirnya dapat tiga mata,” kata Woltemade. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN