Harga emas jatuh, kini pada fasa pembetulan - Utusan Malaysia

Harga emas jatuh, kini pada fasa pembetulan

SEORANG pekerja menyusun gelang emas yang dipamerkan di kedai barangan kemas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan harga emas yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai satu perkembangan yang telah dijangka oleh para penganalisis pasaran dan pelabur, berikutan fasa pembetulan pasaran selepas lonjakan harga yang ketara.

Pada dagangan pagi semalam, harga emas mencatatkan AS$3,234.09 seauns, susut 1.66 peratus berbanding harga penutup kelmarin.

Walaupun berlaku penurunan, paras semasa yang masih melebihi AS$3,000 seauns dilihat sebagai tahap yang selesa dalam kalangan pemerhati pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan ini selaras dengan corak lazim pasaran apabila harga komoditi melonjak secara mendadak dalam tempoh singkat.

“Fasa pembetulan sememangnya berlaku selepas lonjakan harga. Dalam konteks ini, emas telah mencatatkan beberapa paras tertinggi sepanjang April lalu, didorong oleh ketidaktentuan geopolitik serta keadaan pasaran global yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, apabila harga emas meningkat dengan drastik, ia akan mencetuskan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pedagang dan pelabur sekali gus mewujudkan tekanan jualan yang mendorong kepada penurunan harga dalam jangka pendek.

“Namun begitu, prospek emas dalam jangka sederhana dan panjang masih kekal positif, terutamanya sekiranya ketidaktentuan ekonomi global berterusan,” katanya.

Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari mencetuskan jangkaan peningkatan dalam perdagangan AS dan pengukuhan dolar, sekali gus mendorong pelabur beralih sementara daripada emas kepada dolar

Katanya, langkah ini mencerminkan korelasi tinggi antara dolar dan emas, di mana pengukuhan dolar biasanya menyebabkan harga emas menurun kerana pelabur lebih cenderung kepada aset mata wang.

“Namun, perubahan ini dilihat bersifat sementara. Apabila tempoh penangguhan tamat, ketidaktentuan dasar perdagangan AS dijangka kembali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur global.

“Apabila ketidaktentuan dasar muncul semula, permintaan terhadap emas sebagai aset selamat dijangka meningkat semula,” katanya.

Tambahnya, dalam jangka panjang, dasar perdagangan yang tidak menentu akan terus memberi kesan kepada kestabilan pasaran global, sekali gus mengembalikan daya tarikan emas dalam kalangan pelabur yang mencari perlindungan nilai.

Emas susut pada Khamis berikutan kekuatan dolar dan meredanya ketegangan perdagangan, yang mengurangkan daya tarikannya sebagai tempat perlindungan selamat, sementara pelabur menantikan laporan penggajian bukan ladang AS yang akan dikeluarkan minggu ini.

Emas spot jatuh 1.4 peratus kepada AS$3,240.66 seauns manakala niaga hadapan emas AS susut 2.1 peratus kepada AS$3,248.60.

Indeks dolar meningkat 0.3 peratus berbanding mata wang utama yang lain, menjadikan emas kurang menarik bagi pembeli yang memegang mata wang selain dolar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya